TG Nik Aziz pertegas negara Islam agenda perjuangan PAS

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU NIK AZIZ PERTEGAS NEGARA ISLAM TETAP AGENDA PERJUANGAN PAS (28 JUN 1999)

PADA hari ini dalam tahun 1999, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa perjuangan menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat Allah tetap menjadi agenda utama PAS. Beliau membuat penegasan demikian setelah satu kenyataan beliau tentang kesediaan PAS menggugurkan perkataan negara Islam pada 24 Jun 1999 bagi membolehkan manifesto bersama Barisan Alternatif (BA) dikeluarkan. Isu negara Islam ini menjadi pertikaian antara PAS dan DAP dalam BA.

Sejak terbentuknya BA pada 28 April 1999 yang menggabungkan PAS, PKN, PRM dan DAP, kesemua parti ini berusaha untuk meningkatkan kerjasama mereka dalam menegakkan keadilan di Malaysia. Antara strategi utama mereka ialah untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya umum. Isu utama dalam pakatan politik ini ialah hubungan PAS dan DAP yang tidak pernah terjalin sejak kedua-dua parti ditubuhkan kerana perbezaan ideologi.

Pada 21 Februari 1999, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mempertegaskan untuk menolak agenda negara Islam dalam pakatan pembangkang ini. Bagi mengurangkan pergeseran tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 11 Mei 1999 menyatakan kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan DAP walaupun parti itu berkeras menolak negara Islam.

Hasil daripada sikap mengalah PAS ini, akhirnya BA berjaya dibentuk, tetapi masalah berbangkit semula apabila DAP terus berkeras untuk menuntut menandingi 48 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan mempertegaskan sikapnya pada 18 Jun 1999 untuk tetap menolak kerajaan Islam. Kemarahan DAP terhadap PAS lebih parah apabila Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengemukakan dua rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk menghalang umat Islam dari murtad dan untuk mengawal propaganda agama bukan Islam ke atas umat Islam pada sidang Parlimen bermula Jun 1999.

Sikap keras DAP terhadap negara Islam dan pelaksanaan syariat hampir menggagalkan agenda BA, tetapi ia dijayakan oleh keterbukaan PAS apabila Mursyidul Am PAS mengambil ibrah dari peristiwa Perjanjian Hudaibiyah untuk menyatakan kesediaan PAS pada 24 Jun 1999 bagi menggugurkan slogan negara Islam.

Walaupun keterbukaan ini menguntungkan BA, tetapi PAS terpaksa menghadapi kritikan ahli-ahlinya sendiri sehingga Mursyidul Am PAS pada 28 Jun 1999 mempertegaskan cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam tidak pernah berubah, tetapi PAS hanya mengambil strategi untuk tidak menggunakan slogan negara Islam bagi membolehkan pembangkang bersatu di bawah satu manifesto "Ke Arah Malaysia Yang Adil."

Keterbukaan PAS ini kemudiannya berhasil membawa kemenangan di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan pada 29 November 1999. Namun begitu, apabila Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu mahu meneruskan agenda perlaksanaan syariat secara demokrasi di dua negeri tersebut, ia telah menimbulkan kemarahan DAP. Pemimpin DAP, Karpal Singh, memberi amaran supaya PAS tidak menggunakan kemenangannya untuk melaksanakan syariat, sedangkan Lim Kit Siang melahirkan kebimbangan jika kemenangan PAS akan memaksa Umno melaksanakan agenda Islamimasinya di peringkat Pusat. Akibat sikap melulu DAP ini, akhirnya pada 7 Julai 2002, PAS mengambil pendirian untuk tidak lagi tunduk kepada desakan parti cauvanis itu sehingga DAP pada 22 September 2001 bertindak keluar dari BA kerana membantah hasrat PAS menegakkan negara Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 28/6/2016

Share on Myspace