Malangnya negara Malaysia ini

ASPAN ALIAS | .

TINDAKAN Naib Ketua Umno Bahagian Semporna berserta dengan ketiga-tiga ketua sayap parti dan 300 Ketua cawangan keluar parti semalam merupakan tanda-tanda yang nyata bahawa Najib sudah tidak dapat mengawal Umno itu lagi.

Tetapi itulah tindakan yang patut Najib lakukan dengan memecat serta menggantung pemimpin Umno yang tidak beserta untuk membantu beliau melindungi kejahatan yang beliau lakukan selama ini.

Bagi Najib mengkritik beliau untuk kebaikan parti itu adalah haram pada kemahuan beliau. Najib sedang berada dalam keadaan yang sangat getir kerana beliau tahu dan sedar yang beliau tidak boleh menutup semua onak yang beliau lakukan.

Segala-galanya semakin hari semakin jelas yang beliau merupakan seorang pemimpin yang sudah hilang rasa hormat ahli-ahli terutamanya diperingkat akar umbi.

Semasa Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim, Timbalannya dahulu, tidak ada reaksi yang begini buruk yang menyusuli pemecatan itu tetapi dalam isu yang mutakhir ini ia amat jelas Najib sudah hampir ke penghujung hayatnya sebagai pemimpin utama negara.

Beliau mungkin boleh memulas tangan beberapa orang pemimpin tetapi Najib tidak dapat memulas perasaan yang membara terhadap beliau dan tindakan keluar Umno beramai-ramai ini merupakan petanda yang hampir pasti yang Najib hanya boleh memimpin kelompok beliau sahaja dan tidak mampu menguasai perasaan dan sokongan yang ramai di kalangan ahli-ahli parti itu.

Jika beliau tidak disegani oleh ahli-ahli Umno sendiri bagaimana beliau mahu mendapatkan rasa hormat rakyat jelata yang ramai? Kita tidak pasti samada berita yang ramai lagi ketua-ketua cawangan seluruh negara akan keluar Umno tetapi mood yang ada pada hari ini nampaknya tidak memberikan Umno harapan untuk pulih seperti sedia kala selagi Najib masih mentadbir parti pemerintah itu.

Husni Hanadzlah, salah seorang dari ahli kabinet beliau, telah mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatan parti setiap peringkat dan jawatan beliau dalam kerajaan semalam, dan ini merupakan satu lagi indikasi yang amat buruk bagi Umno terutamanya kepada Presidennya Najib Tun Razak.

Tetapi Najib tetap merasakan yang beliau masih kuat dan tidak ada apa-apa dan sesiapa yang boleh mengenepikan beliau. Beliau mempunyai muka yang selamba dan berpura-pura dalam hidup kepimpinan beliau.

Beliau tidak dapat lagi membuat keputusan yang matang dan bertindak secara berhemah dalam usaha mempertahankan jawatan yang amat beliau sayangi itu.

Najib sudah tidak ada masa untuk mentadbir kerajaan kerana segala tenaga dan usahanya ialah untuk mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sahaja. Tetapi apa pun alasan yang beliau berikan diatas tindakan beliau memecat Muhyiddin dan Mukhriz serta menggantung jawatan Shafie Apdal itu sudah cukup untuk membuktikan yang Najib sudah begitu ‘desperate’ dalam menghadapi kemelut yang menghadapi negara dan Umno serta BN sekarang ini.

Tindakan beliau mutakhir ini adalah tindakan terdesak dan kita sudah pasti yang negara tidak akan berada dalam keadaan stabil lagi. Beliau boleh menyalahkan pembangkang tetapi beliau mesti soal dirinya apa yang menyebabkan pembangkang mampu untuk menggugat kepimpinannya.

Bagaimana beliau mahu mendapatkan sokongan pembangkang dan rakyat ramai sedangkan ahli-ahli serta pemimpin Umno sendiri tidak lagi segan silu untuk keluar parti secara terbuka. Jika semasa pilihan raya lebih sejuta ahli Umno memangkah pembangkang sekarang ini ahli-ahli Umno berani keluar parti secara terbuka.

Bagi saya tindakan ramai ahli-ahli Umno keluar parti ini adalah tindakan yang tidak bersalahan dengan keadaan negara sekarang. Ramai berpendapat tidak ada apa-apa lagi dalam Umno kerana semua ‘attribute’ Umno itu sudah luntur dan tidak wujud lagi selain dari tinggal namanya sahaja.

Umno itu wujud untuk mempertahankan negara tetapi Umno sekarang berada dalam keadaan sebagai sebuah parti yang membiarkan pucuk pimpinan melakukan tindakan ‘treason’ dan mensabotaj negara. Umno tidak lagi parti untuk kepentingan negara tetapi Umno sudah semakin jelas sebagai sebuah parti yang memusuhi negara.

Apa tidaknya? Umno kini sedang menyokong pemimpin yang melakukan rasuah yang tidak terhingga besarnya jika dibandingkan dengan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin rasuah di negara-negara lain.

Skandal kewangan yang berlaku dibawah pentadbiran Najib sekarang ini merupakan skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah dunia.

Suharto dikatakan rasuah, Ferdinand Marcos dianggap rasuah dan ramai lagi pemimpin dunia dianggap rasuah tetapi rasuah mereka adalah jauh lebih kecil dari yang dituduh dilakukan oleh Najib dan kroni beliau.

Malahan ada yang beranggapan rasuah yang dilakukan oleh Suharto dan Marcos dicampurkan sekali jauh lebih kecil dari apa yang sudah dilakukan oleh Najib.

Apa rupa nasib rakyat Malaysia selepas ini sama-sama kita perhatikan dan tengok secara serius. Kita akan terdampar dalam kerosakan dan semuanya ini akan dirasai oleh rakyat. Tidak payah kita fikirkan nasib anak dan cucu kita sekarang ini, kerana nasib kita dan generasi kita pun sudah tidak terjamin lagi.

Kita sudah sampai diambang kehancuran budaya dan tamadun. Bagaimana sejarawan menulis tentang Najib ini tidak dapat kita bayangkan. Yang pasti tidak ada dalam kalangan sejarawan akan menulis tentang apa yang baik yang Najib telah lakukan.

Malangnya negara kita ini. Apakah hikmah yang kita akan perolehi, tidak dapat dibayangkan lagi oleh sesiapa. - aspanaliasnet.blogspot.my/

Share on Myspace