Dakwaan Mukhriz tak betul – Timbalan Mursyidul Am

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kecelaruan politik yang berlaku sekarang membuatkan beberapa pihak membuat kenyataan tidak berasas kononnya PAS dan Umno bakal bergabung.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan yang dibuat mereka sesuatu yang tidak pernah wujud.

“Kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Umno. Sejak dahulu sehingga kini pun tak pernah ada perjanjian.

“Cuma yang ada hanyalah memberi kerjasama untuk program kebajikan yang membabitkan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 100 pesakit Hospital Raja Perempuan Zainab II hari ini.

Baru-baru ini bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa ada perjanjian dua parti itu untuk bergabung bagi membahagi pemerintahan.

Katanya, dakwaan Mukhriz itu tidak betul sama sekali.

Sedangkan tambahnya, PAS tetap berada pada landasannya dengan perjuangan asal walau pun terpaksa berkeseorangan. – HARAKAHDAILY 28/6/2016

Share on Myspace