Mohd Daud Samad dilantik MB Terengganu pertama

HARAKAHDAILY | .

MOHD DAUD SAMAD DILANTIK MENTERI BESAR TERENGGANU PERTAMA (29 JUN 1959)

PADA hari ini dalam tahun 1959, Adun Setiu, Mohd Daud Abdul Samad telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang pertama selepas merdeka ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu yang pertama pada 1959.

Sebelum itu, tokoh- tokoh yang pernah mengetuai Kerajaan Negeri Terengganu pra merdeka ialah Dato' Sri Amar Ngah Muhammad Yusof (1911-1940), Tengku Omar Othman (1942-1945) Dato' Da Omar Mahmud (1942-1945), Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad Muadzam Shah (1945-1949) dan Dato' Seri Setia Raja Kamaruddin Idris (1949-1959). Selepas merdeka, Menteri Besar dipilih oleh rakyat.

Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 16 Mei 1959 ini, PAS telah memenangi 13 daripada 24 kerusi Dun, manakala Perikatan mendapat tujuh dan Parti Negara empat. Pada 24 Jun 1959, PAS Terengganu telah menamakan dua tokoh iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram) dan Setiausaha PAS Terengganu, Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) sebagai calon Menteri Besar Terengganu, tetapi Sultan Terengganu memilih Mohd Daud Abdul Samad. Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 29 Jun 1959.

Mohd Daud yang berasal dari Jalan Pasir Akar, Jerteh, Besut telah dilahirkan pada 3 Julai 1924 dalam sebuah keluarga petani yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Setelah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kampung Raja, beliau memasuki Sekolah Melayu Pasir Puteh, sebelum mengikuti pendidikan Inggeris di Sultan Ismail School (SIC sekarang) di Kota Bharu. Dalam bidang agama, beliau belajar di Madrasah al-Balaghul Mubin di Pasir Puteh dan menamatkan pengajian di Madrasah Diiniyah Ittifakiyah di Jerteh pada zaman Jepun. Dengan latar pendidikan Melayu, Inggeris dan agama ini, Mohd Daud berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Kerja Raya Terengganu sehingga 1952.

Selepas itu, beliau mula aktif dalam politik. Penglibatan awal beliau dalam KMM semasa berada di Pasir Puteh, telah mendorong beliau menyertai PKMM pada 1945 dan dilantik sebagai Setiausaha PKMM Ranting Jerteh.

Pada 1955, beliau menyertai PRM selaku Ketua PRM Jerteh. Ekoran penyertaan Dr Burhanuddin al-Helmy ke dalam PAS pada akhir 1956 dan tertubuhnya PAS Cawangan Besut pada 1957, Mohd Daud telah menyertai PAS. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Besut (1958-1962), Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu (1959-1961) dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PAS Terengganu (1959), sebelum terpilih sebagai Adun Setiu.

Selain itu, Mohd Daud juga pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu (1961 dan 1966-1972), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1966-1972), Ahli Parlimen Besut (1964-1969) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan (1969-1974).

Era kepemimpinan Mohd Daud sebagai Menteri Besar telah diwarnai oleh krisis sehingga tiada pencapaian besar yang dibuat. PAS yang memimpin kerajaan minoriti terpaksa berhadapan dengan krisis kepemimpinan ekoran perebutan jawatan dalam kerajaan, pergolakan dalam parti dan peranan pembangkang (Perikatan dan Parti Negara) dalam menggugat Kerajaan PAS Terengganu.

Akhirnya, pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS Terengganu tumbang dalam usul undi tidak percaya dan Mohd Daud berundur dari jawatan Menteri Besar mulai 8 November 1961. Jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Penapis Filem (1974-1978) dan selepas itu beliau tidak aktif lagi dalam politik kerana mengidap sakit jantung.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Oktober 1982 dengan meninggalkan seorang isteri, Ustazah Fatimah Ismail yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu (1973-1989).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 29/6/2016

Share on Myspace