Kempen bermusafir dengan 'resipi rabbani'

USTAZ AZHAR YAHYA AL-BATAWI | .

Apabila kita melakukan perjalanan maka Rasulullah SAW mengajar kita agar berdoa dengan doa yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran iaitu:

سُبْحَانَ اللَّذِيْ سَخَّرَ لَنَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ وَ اِنَّا اِلَي رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ

“Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” (Surah Az-Zukhruf, ayat 13-14)

Jika dimenung-menungkan mengapakah doa menaiki kenderaan ini disyariatkan tatkala kenderaan di zaman tersebut amatlah sukar dibayangkan akan berlakunya kemalangan.

Amat tipis kebarangkaliannya. Adalah suatu kepelikan jika berlakunya keldai atau unta berlanggar semasa dikenderai. Namun, kita diajar untuk membacakan doa tersebut bahkan pelbagai lagi doa-doa yang ma’tsur.

Selamatnya kita dalam sesuatu perjalanan adalah dengan rahmat Allah. Pastinya di zaman ini yang kenderaannya pantas memerlukan kepada pergantungan yang amat kuat kepada Allah. Ketika kita sedang meluncur laju, jika Allah takdirkan berlaku sesuatu kecemasan maka tiada sesiapa yang mampu membantu melainkan bantuan Allah yang dinamakan "Rahmat". Maka, pohonlah Rahmat itu.

Justeru mulakan perjalanan dengan membaca "Basmalah", untuk mendapatkan keberkatan seperti janji Rasulullah SAW di dalam sabda Baginda:

كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَمْ يُبْدَأْ فِيهِ بِبِسْمِ اللهِ فهو أَقْطَعُ ... فهو أبتر... فَهُوَ أَجْذَمُ

"Setiap perkara yang hendak dilakukan tidak dimulakan dengan Bismillah maka akan hilang keberkatan."

Oleh kerana kita juga membawa muatan yang pelbagai, sama ada penumpang ataupun barangan maka ada baiknya kita amalkan doa Nabi Nuh AS walaupun pendek tetapi dicatatkan di dalam Al-Quran pada Surah Hud ayat 41:

بِسْمِ اللهِ مَجْرِىهَا وَمُرْسَاهَا

"Dengan menyebut nama Allah di waktu berlayar (bertolak) dan berlabuhnya (tiba) Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Oleh kerana kita akan memasuki kawasan merbahaya iaitu lebuh raya atau jalan raya yang menyaksikan pelbagai kemalangan berlaku, maka kita diajari Nabi untuk berdoa:

بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan nama-Nya sama ada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." (Hadis Riwayat Abi Daud, Ahmad dan Tirmizi)

Kita tutupi doa kita dengan penyerahan dan tawakal kita kepada Allah seperti yang diajari Baginda apabila seseorang hendak keluar daripada rumahnya maka bacalah:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

"Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah, tiada suatu daya upaya dan kekuatan melainkan kekuatan Allah." (Hadis Riwayat Abi Daud dan Tirmizi serta taraf Hadis ini Hasan Sahih)

Mudah-mudahan perjalanan sebegini diberkati Allah dan senantiasa di dalam pemeliharaan-Nya.

Namun, jangan pula dilupakan keperluan kepada persiapan manusiawi seperti tayar yang berbunga, brek yang baik, rehat apabila mengantuk dan sebagainya. Jika segalanya telah lengkap tetapi masih lagi berlakunya kemalangan, maka barulah ketika itu kita katakan “sudah suratan takdir”.

Pelbagai kempen keselamatan jalan raya telah dilakukan dan natijahnya masih lagi mengecewakan, maka mengapa tidak mencuba "Resipi Rabbani". - HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace