Sampai bila rakyat Kedah nak dirabunkan?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

Sejak BN memerintah semula Kedah pada Mei 2013, dah ada dua orang menteri besar daripada Umno. Rakyat Kedah yang peka tentu akan perasan:

1. Tiada seorang pun daripada mereka berdua berani umumkan berapa premium pembalakan dan hasil bumi kerajaan negeri dapat tiap-tiap tahun, menurun atau meningkat.

2. Tiada siapa berani umumkan berapa bajet surplus atau defisit tiap-tiap tahun - biasanya surplus (lebihan) akan diumumkan untuk menunjukkan penjimatan dan kecekapan.

3. Tiada siapapun berani umumkan prestasi anak-anak syarikat kerajaan negeri, rugi atau untung atau gulung terus. Berapa pula sumbangan anak-anak syarikat itu kepada kerajaan.

4. Berapa peningkatan hasil negeri, sama ada daripada sumber baru atau hasil sedia ada.

5. Tiada siapa pun berani maklumkan apakah hasil yang keluar dari makmal tranformasi Kedah.

6. Tiada siapapun berani senaraikan pencapaian Akujanji BN Kedah PRU13.

7. Tiada siapapun mampu tampilkan pencapaian baru BN Kedah untuk orang Kedah.

8. Tak ada siapapun berani mengaku bahawa slogan BN Menang Rakyat Senang telahpun dicapai.

9. Tiada siapapun dapat tunjukan apa yang telah dibuat dalam tempoh itu, selain menukar slogan di kepala surat-surat kerajaan.

10. Tiada tanda-tanda  kecil atau besar (alamatul sughra au alamatul kubra) yang menunjukkan BN lebih daripada PAS sebagai peneraju Kerajaan Negeri Kedah.

11. Hadiah besar untuk rakyat cukai tanah dan bayaran pejabat tanah meningkat mendadak.

Habis tu, segala perkelahian dan perebutan dalam Umno sekarang untuk apa? Kalau bukan untuk rakyat dan negeri, tentulah ia hanya untuk diri mereka sendiri. Siapa dapat apa, bila dan bagaimana.

Sampai bila rakyat Kedah nak dirabunkan? - HARAKAHDAILY 29/8/2016

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kedah.

Share on Myspace