AKSB minimum gangguan air pada hari raya

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bersiap sedia bagi meminimumkan gangguan bekalan air dengan kepulangan anak-anak perantau sempena Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrasturuktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata beberapa tindakan dikenal pasti bagi mengurangkan gangguan bekalan air.

Katanya bermula 30 Jun hingga 15 Julai ini tidak ada sebarang kerja-kerja selenggaraan berjadual bahagian paip agihan atau pengeluaran di loji.

Selain itu menyediakan stok barangan dan peralatan bagi penyelenggaraan kecemasan sekiranya berlaku.

“Memaklumkan kepada Tenaga Nasional Berhad supaya tidak berlaku gangguan bekalan eletrik di loji.

“Cuti bagi kakitangan bahagian tertentu dibekukan dan dibuat giliran bercuti. Menyediakan tangki air statik di kawasan yang mengalami masalah bekalan air,” katanya di sini.

Hanifa juga berkata selain lori tangki AKSB, pihaknya juga akan menyewa lori-lori kecil untuk menghantar air ke kawasan bermasalah.

Beliau juga menggalakkan pengguna membuat simpanan air lebih awal dan menggunakan secara berhemah bagi memastikan bekalan mencukupi ketika meraikan Aidil Fitri.

Bermula 1 Julai ini perantau dijangka pulang ke Kelantan secara berperingkat dan dijangka mencapai kemuncak pada 5 Julai bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga. - HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace