PAS kecam tragedi letupan di Istanbul

HARAKAHDAILY | .

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


PAS mengecam tragedi letupan terbaharu yang berlaku di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul semalam.

Tragedi berdarah ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 mangsa dan mencederakan ratusan orang awam yang tidak bersalah. 

PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi tidak berperikemanusiaan ini.

PAS juga merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan seluruh rakyat Turki yang menjadi sasaran beberapa siri letupan berdarah.

PAS secara konsisten mengecam sebarang tindakan pembunuhan yang melibatkan orang awam yang tidak bersalah untuk apa tujuan sekalipun.

Pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan. Tindakan kejam sebegini adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang sebarang tindakan kejam yang melibatkan orang awam yang tidak berdosa.

PAS juga menggesa semua pihak untuk tidak menuduh mana-mana pihak terutama sekali yang ada kaitan dengan Islam sebagai dalang tragedi ini sebelum bukti kukuh diperolehi.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Ramadhan 1437 / 29 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 29/6/2016

Share on Myspace