PR1MA dibenar ambil alih projek Rumah SelangorKu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibenarkan mengambil alih projek Rumah SelangorKu dari pemaju bagi membolehkan perbadanan itu mencapai sasaran mereka.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Samad, berkata PR1MA perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya, setakat ini PR1MA memohon untuk mengambil alih satu projek Rumah SelangorKu yang diluluskan di bawah program insentif pembinaan Rumah SelangorKu 2015.

Menurutnya lagi, projek itu adalah di Cyber 11, Cyberjaya membabitkan 1,932 unit Rumah SelangorKu.

Tambah beliau, antara syarat dikenakan adalah harga jualan hendaklah seperti diluluskan kerajaan negeri.

“Pihak PR1MA tidak boleh mengikut harga maksimum mereka iaitu RM300,000 kerana harga Rumah SelangorKu adalah antara RM42,000 hingga RM250,000.

“Separuh dari nama pembeli juga mestilah dari senarai Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS),” katanya dipetik Selangor Kini.

Selain itu, beliau berkata, projek terbabit hendaklah dijenamakan sebagai SELANGORKU PR1MA dan bukan PR1MA sahaja.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan perumahan sempurna untuk rakyat.

“Masalah perumahan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia melibatkan kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri kini dapat bekerjasama dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sebelum ini, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam isu perumahan demi kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Share on Myspace