Kenapa mercun muncul menjelang raya?

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan diminta bertegas dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga menjual mercun khususnya Ramadan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi berkata tindakan perlu diambil kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Kita pun hairan kenapa mercun hanya ada pada bulan Ramadan dan ketika umat Islam menyambut Syawal, jawapannya kerana ada pihak yang membekalnya,” katanya kepada media di sini.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan supaya peniaga dan pembekal yang menjual mercun dijel sehingga tujuh tahun.

Mumtaz juga berkata mereka yang didapati melanggar Akta Bahan Letupan 1957 boleh dikenakan kompaun 10 kali ganda daripada nilai rampasan.

“Wajar sekiranya penyeludup, pengedar dan penjual dikenakan hukuman yang lebih berat bagi menginsafkan mereka,” katanya.

Menurutnya juga kejadian malang akibat bermain mercun boleh dilihat di halaman media massa setiap Ramadan dan Syawal.

Oleh itu beliau menasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak agar tidak membiarkan mereka bermain mercun sehingga boleh membahayakan diri sendiri. - HARAKAHDAILY 29/6/2016

Share on Myspace