Terengganu negeri perikanan tapi harga ikan paling mahal

HARAKAHDAILY | .

SAYA harap pihak berkuasa dan persatuan pengguna dapat berbuat sesuatu berhubung dengan harga ikan di negeri Terengganu yang terlampau mahal jika dibandingkan dengan negeri negeri lain.

Isu ini bukanlah baru sebulan dua, tetapi sudah lama menjadi percakapan orang.

Terengganu sentiasa digambarkan sebagai sebuah negeri perikanan dengan jumlah nelayan yang ramai dan sumber perikanan yang kaya di laut sehingga mengundang pencerobohan nelayan asing. Pelbagai kompleks pendaratan ikan yang canggih seperti jeti LKIM di Chendering dan Pulau Kambing kelihatan sentiasa sibuk dengan bot bot nelayan keluar masuk memunggah hasil laut.

Malangnya harga ikan masih sangat mahal.

Tinjauan di beberapa pasar basah di sekitar Kuala Terengganu kelmarin mengejutkan dengan harga ikan kembong mencecah RM18 sekilo, sotong RM28 sekilo, udang RM32 sekilo. Ikan seperti kerapu pisang RM80 sekilo dan udang saiz sederhana besar RM80 sekilo. Ini termasuk di Pasar Kedai Payang dan Pasar Chabang Tiga.

Ini bermakna seratus ringgit yang dibawa pengguna hanya cukup untuk ikan, sotong atau udang. Belum lagi untuk membeli ayam, daging dan sayuran.

Di mana silapnya dan kerajaan diminta siasat dan perbetulkan.

Rata-rata penjual memberitahu mereka ambil untung sikit sahaja. Habis kosnya di mana?

Umumnya orang kata ikan Terengganu lebih segar. Tapi bagi yang biasa ke pasar raya dan pasar di pantai barat khususnya di Lembah Kelang, kualiti kesegaran ikan tidaklah menjadi isu yang terlalu besar. Malah pilihan jenis ikan di Terengganu adalah terhad.

Setiap hari rakyat semakin terasa dengan harga ikan yang luar biasa mahalnya.

Kita seronok melihat ikan hidup dipamer dalam akuarium seperti di Aquaria KLCC atau di Zoo.

Sekarang, ikan mati di pasar pun hampir jadi bahan pameran sahaja kerana rakyat tidak mampu membelinya kerana harga yang sangat mahal.

Kalau dulu isunya Rumah Mampu Milik sekadar jadi Rumah Mampu Tengok kerana harga melambung. Sekarangpun kita berdepan masalah Ikan Mampu Tilik dan Tengok sahaja.

Pendapatan isi rumah tak naik naik. Rakyat dari setiap hari makan ikan kembong sudah mula beralih ke selayang ataupun keli.

AHMAD AMZAD HASHIM
Ketua Penerangan PAS
Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 30/6/2016

Share on Myspace