BSMM siap sedia bantu mangsa kemalangan

MOHD NOR YAHYA | .

KOTA BHARU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bersiap sedia bagi membantu memberi pertolongan cemas terhadap mangsa kemalangan jalan raya di musim perayaan sekarang.

Naib Pengerusi BSMM Datuk Nordin Razak, usaha itu dilaksanakan setiap tahun bagi membantu pihak berkuasa memberi pertolongan awal kepada mangsa kemalangan.

“BSM mempunyai sukarelawan yang mencukupi dan berpengalaman memberi pertolongan cemas sekiranya berlaku kemalangan jalan raya,” katanya kepada media di majlis Iftar Prihatin anjuran BSM Kelantan di Sekolah Menengah Agama Al-Kauthar, Peringat petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Kesihatan dan Khidmat Masyarakat BSMM Datuk Mohd  Rashidi Mohd Noor dan anggota Jawatankuasa BSM Kelantan.

Nordin juga berkata anggaran jumlah kenderaan yang akan memasuki Kelantan akan meningkat secara mendadak menjelang Aidilfitri ini menyebabkan BSMM mengambil langkah proaktif bersiap sedia membantu mangsa kemalangan.

Mohd  Rashidi pula memberitahu pada bulan Ramadan setiap tahun BSM negeri-negeri akan disalurkan bantuan kewangan bagi menjalankan aktiviti bersama masyarakat.

“Di Kelantan program Iftar Prihatin diadakan setiap tahun dengan kerjasama BSM Kelantan dengan memilih institusi masjid dan sekolah tertentu.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk agihan bubur lambuk dan menyampaikan bantuan serta iftar,” ujar beliau.

Menurutnya juga tahun ini sejumlah RM7,400 sumbangan zakat orang perseorangan dimanfaat bagi menjayakan Iftar Prihatin di Sekolah Menengah Agama Al-Kauthar. - HARAKAHDAILY 30/6/2016

Share on Myspace