Rakyat Malaysia berdepan obesiti

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Agak membimbangkan di mana setiap seorang daripada dua orang dewasa di negara ini sekarang dikategorikan sebagai obesiti.

Sedangkan 10 tahun lalu hanya seorang daripada lima orang dewasa yang dikategorikan sebagai obesiti.

“Cuba bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang tentunya akan berlaku peningkatan kes obesiti yang boleh mendedahkan kepada penyakit kronik.

“Begitu juga dalam kalangan pelajar sekolah sekarang didapati seorang daripada tiga pelajar menghadapi masalah obesiti yang berpunca daripada pemakanan dan kurang aktiviti fizikal,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed.

Beliau yang juga Pengerusi Program Pemakanan & Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM mendedahkan perkara itu pada pelancaran Interaksi Dietitian dan Masyarakat (Idaman) di Dewan Teratai Kota Darulnaim di sini.

Pelancarannya disempurnakan anggota Exco kerajaan negeri, Dr Ramli Mamat.

Program Idaman Kekal Sihat Menawan dianjurkan Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO dengan kerjasama Program Pemakanan dan Dietetik USM.

Program tersebut bagi mendedahkan tentang pendidikan kesihatan kepada orang ramai dan berkongsi pengetahuan berkaitan terapi pemakanan.

Dr Hamid Jan juga berkata masalah obesiti di Kelantan dikenal pasti berpunca pengambilan nasi sehingga tiga kali sehari.

“Sepatutnya dalam amalan pemakanan sihat satu pinggang perlu hanya mengandungi satu perempat nasi dan satu perempat lauk.

“Ada peserta yang mengikut program kami dengan mengamalkan kaedah pemakanan seimbang tersebut berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 15 kg dalam tempoh enam bulan tanpa perlu mengambil sebarang ubat,” ujarnya.

Dr Ramli pula berkata, nikmati kesihatan hanya dirasa ketika kita belum terkena sebarang penyakit kronik termasuk darah tinggi, diabetis dan angin ahmar.

Pada program itu turut diadakan forum indahnya diet Ramadan yang disampaikan penyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Abdul Basit Abdul Rahman. - HARAKAHDAILY 30/6/2016

Share on Myspace