Hak PAS untuk berkawan dengan siapa sahaja – Kadir

SALMIYAH HARUN | .

SERI KEMBANGAN: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil yakin partinya bersama PAS akan bergerak cergas selepas sekretariat kedua-dua parti itu dibentuk selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurut Kadir, selepas pembentukan sekretariat itu nanti rakyat akan melihat kedua-dua parti itu benar-benar memperjuangkan isu-isu yang begitu menekan mereka.

"Selepas ini PAS dan Ikatan akan mendapat sokongan cukup besar sehingga ke PRU-14 akan datang dua tahun lagi," katanya ketika ditemui.

Katanya, Ikatan akan melipat gandakan usahanya untuk melebarkan partinya yang diyakini akan menarik ramai ahli kerana terdiri daripada pelbagai bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Bahkan katanya, pimpinan parti Ikatan di peringkat dewan-dewan tertinggi terdiri daripada Melayu, India dan China malahan mereka sangat menyokong kerjasama PAS dan Ikatan.

"Ini kerana mereka cukup faham, Islam adalah agama yang baik dan menghormati agama serta budaya orang lain, malangnya masalah persepsi yang timbul membuatkan sesetengah kaum lain persoalkan," katanya.

Tegas beliau, kerjasama yang baik ini akan memberi keuntungan kepada PAS dan Ikatan khususnya menjelang pilihan raya umum nanti.

"Jika PAS ingin menjemput parti-parti lain dan Ngo lain dan sebagainya kami tidak perlu tahu, Ikatan mengalu-alukan dan akan sokong segala keputusan PAS untuk menarik Ngo dan parti-parti lain dalam Blok ke-3," katanya.

Beliau turut mengakui Ikatan dan PAS masih belum sempat untuk bergerak aktif selepas kerjasama itu dibentuk tiga bulan yang lalu memandangkan berlakunya Pilihan Raya Negeri Sarawak dan diikuti pula PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Sekarang ini kita puasa pula, lepas raya kita akan lancarkan sekretariat PAS ikatan ini dan percayalah kita akan benar-benar aktif, sebagaimana PAS tekankan mereka akan mengamalkan konsep politik matang dan sejahtera.

"Kita ada pelbagai isu yang kita hendak perjuangkan, rakyat tertanya-tanya orang politik hanya bercakap isu nasional seperti 1MDB yang rakyat kurang faham. Sedangkan mereka hendak tanya pemimpin tentang penyelesaian harga getah, jatuh begitu lama. Berjuta rakyat negara ini menderita, nampak kerajaan tidak bersungguh untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,"ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2016

Share on Myspace