Sambutan Aidilfitri, elakkan boros

SM MOHAMED IDRIS | .

Kita kini berada beberapa hari terakhir Ramadan di mana umat Islam dikehendaki meluangkan lebih banyak masa untuk beribadah, muhasabah diri dan membuat kebajikan. Amat dikesali, mereka dihujani dengan iklan supaya membeli dan mengguna dengan lebih banyak. “Jualan Hari Raya”, “Raya Ni Mesti Cun, Jualan Hebat sehingga 50%” adalah beberapa iklan yang ditujukan kepada pengguna.

Iklan jualan tanpa mengelirukan pengguna dan melanggar peraturan mungkin boleh diterima. Apa yang tidak dapat dipersetujui ialah mengaitkan promosi jualan dengan sambutan Aidil Fitri. Ia menjejaskan kesucian peristiwa yang amat kerohanian. Apa yang pihak berkuasa dan Ulama lakukan berhubung perkara ini? Mereka perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan perkara ini bagi menjaga martabat Islam.

Menurut laman sesawang Al-Islam.org: “Aidil Fitri adalah perayaan yang unik. Ia tidak mempunyai hubungan dengan sebarang peristiwa sejarah mahupun berkaitan dengan perubahan musim atau kitaran pertanian. Ia bukanlah perayaan yang berkaitan dalam mana-mana cara kepada hal ehwal dunia.

Ia merupakan soal kerohanian. Ia merupakan hari apabila umat Islam bersyukur kepada Allah yang memberikan mereka azam, kekuatan dan ketahanan untuk melaksanakan ibadah puasa dan patuh kepada perintahnya pada bulan Ramadan yang suci.

Pada hari ini umat Islam di seluruh dunia, bergembira dan berbahagia. Bagaimanapun, kegembiraan itu bukanlah kerana berlalunya bulan Ramadan; ia merupakan kebahagiaan yang dirasakan oleh mereka selepas berjaya menunaikan ibadah yang penting itu.”

Dalam menyambut Aidil Fitri, umat Islam disuruh mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan aktiviti maksiat. Allah S.W.T memerintahkan kita agar tidak melakukan pemborosan dengan harta tetapi melakukan lebih banyak kebajikan. Dalam kitab suci Al-Quran, Allah berfirman dan memberi amaran: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara setan dan setan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” [Surah Al-Isra’, ayat 26, 27]

Ramai umat Islam – orang kaya, golongan elit, ‘orang kaya baru’ – telah melanggar perintah Allah ini dan menurut hawa nafsau dalam pembaziran, pengambilan berlebihan yang mudah dilihat ketika di bulan Ramadan ini. Mereka berbelanja dengan boros untuk menghias rumah, membeli perabot mahal, langsir, pakaian, jam dan barangan peribadi lain. Ketika sebahagian rakyat dengan pendapatan sederhana kurang daripada RM2,000.00 sebulan, beg tangan ‘orang kaya baru’ bernilai lebih RM20,000.00.

Gaya hidup yang suka mempamerkan kekayaan mempunyai kesan ke atas dan meresap kepada lapisan lain dalam masyarakat. Golongan berpendapatan rendah cuba untuk meniru golongan kaya, penggunaan berlebihan, hidup di luar kemampuan mereka dan terpaksa menanggung beban hutang yang banyak. Masalah kewangan mewujudkan tekanan di dalam keluarga yang boleh membawa kepada perpecahan dalam perkahwinan dan keruntuhan rumahtangga di mana anak-anak akan menjadi mangsa.

Kekayaan dalam Islam dianggap anugerah dari Allah untuk dimiliki sebagai pemegang amanah. Ia bukanlah untuk dibazirkan dan digunakan dengan boros serta mempamerkannya dalam kehidupan tetapi untuk memperbaiki dan mengupayakan komuniti, dan untuk membantu golongan miskin, mereka yang memerlukan dan yang terpinggir tidak kira di mana mereka berada.

Kemiskinan begitu meluas di dunia ini terutama sekali di banyak negara Islam. Lebih 2 bilion penduduk hidup dalam kemiskinan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di Syria, Iraq dan negara lain, musnah akibat perang dan konflik, berpuluh juta orang menjadi pelarian di negara sendiri hidup dalam pondok yang buruk, atau menjadi pelarian yang tinggal di khemah pelarian. Mereka tidak mempunyai makanan, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan asas lain yang mencukupi. Dalam keadaan Ummah yang sebegini, tidakkah ia merupakan satu dosa dan jenayah bagi mereka yang kaya mempamerkan kekayaan mereka dengan penggunaan berlebihan yang dipamerkan?

Mengadakan rumah terbuka ketika hari raya Aidil Fitri sudah menjadi lumrah kepada komuniti Islam di Malaysia yang merupakan golongan berpendapatan rendah berbanding komuniti lain. Tiada komuniti lain di sini yang mengamalkan amalan seperti itu. Secara tradisinya, selepas bersolat, orang ramai akan mengunjungi rumah jiran, sahabat dan saudara-mara mereka untuk mengucapkan selamat hari raya, sembang-sembang dan merasai kuih-muih, ketupat, lemang dan minuman.

Hari ini keadaannya sudah berbeza. Rumah terbuka yang dianjurkan oleh organisasi, parti politik dan orang politik, korporat dan orang kaya menyediakan begitu banyak makanan dan minuman malah turut disertakan dengan hiburan. Banyak makanan berakhir dengan pembaziran. Berdasarkan nilai ekonomi, ia mencapai sehingga berjuta ringgit. Tidakkah lebih bermanfaat jika wang ini digunakan untuk menyediakan biasiswa kepada anak-anak miskin atau rumah bagi mereka yang tidak berumah?

Sambutan secara sederhana boleh dianjurkan oleh umat Islam dan bukan Islam di kawasan kejiranan mereka yang akan menggalakkan pemahaman, perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan mereka. Kami merayu kepada umat Islam agar mengingati maksud kepentingan rohani Aidil Fitri dan mengelakkan pemborosan dan pembaziran.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. - HARAKAHDAILY 1/7/2016    
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace