PAS setuju ketuai pembangkang hadapi BN

HARAKAHDAILY | .

PAS SETUJU KETUAI PEMBANGKANG HADAPI BN (1 JULAI 1986)

PADA hari ini dalam tahun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi bersetuju supaya parti-parti pembangkang membentuk satu pakatan politik bagi menghadapi BN dan PAS bersedia mengetuainya.

Pendirian PAS dinyatakan oleh Pak Yusof Rawa dalam rangka PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka diadakan pada tahun 1986. Ini adalah langkah pertama PAS untuk membentuk semula kerjasama politik setelah ia ditendang dari BN pada akhir 1977.

Pada 30 Jun 1986, ketika PAS berusaha memperkukuhkan hubungannya dengan masyarakat Cina melalui CCC, Yang Dipertua Agung PAS telah menyatakan bahawa PAS telah pun membuat kajian teliti tentang tahaluf siyasi dalam menghadapi perkembangan politik semasa di negara ini.

PAS juga bersetuju supaya inisiatif diambil bagi mewujudkan persefahaman parti-parti pembangkang dengan syarat mereka "menghormati pegangan teguh PAS terhadap gagasan perjuangan menegakkan negara Islam dengan perlaksanaan awalnya ialah untuk mengukuhkan asas-asas keadilan di dalam pemerintahan dan masyarakat," "mengakui kepemimpinan Islam sebagai teras kestabilan politik di negara ini" dan "PAS adalah diterima menerajui kepemimpinan ini."

Tujuan utama pakatan pembangkang ini menurut Pak Yusof Rawa adalah "... tanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini dari kehancuran, kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, assobiyah dan pemusatan kuasa yang diamalkan oleh Kerajaan BN," dan "demi mempertahankan Islam, umat dan negara serta kebaikan bersama".

Dari pernyataan yang dibuat oleh Pak Yusof Rawa pada 30 Jun 1986 ini, PAS dengan jelas berpegang kepada kepentingan politik pakatan dalam menumbangkan BN tetapi ia mesti ditegakkan atas prinsip Islam dan dipimpin oleh Islam.

Dalam satu kenyataan kepada media yang menghuraikan strategi PAS 1 Julai 1986, Pak Yusof Rawa telah menghuraikan sebab-sebab kenapa PAS mesti memimpin pakatan pembangkang, kenapa Islam mesti dijadikan asas pembentukan kerjasama ini dan kenapa semua parti mesti menerima kepemimpinan Islam sebagai teras politik di negara ini. Memberi respons terhadap cadangan PAS, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Lee Lam Thye pada 3 Julai 1986 menyatakan kesediaan DAP menyertainya dengan syarat CCC tidak terlibat dan tidak melibatkan penubuhan negara Islam. DAP akhirnya tidak menyertai pakatan ini kerana menolak negara Islam.

Pada 10 Julai 1986, PAS, PSRM, NasMa dan SDP telah mengadakan satu pertemuan di Pejabat Agung PAS, Jalan Pahang dan bersetuju menubuhkan sebuah pakatan pembangkang.

Bagi melegitimasikan pembentukan pakatan ini, pada 13 Julai 1986, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukan satu kertas kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS bertajuk "Cadangan Mengadakan Satu Tahaluf Dengan Golongan Pembangkang Untuk Menghancur dan Menentang Kezaliman BN".

Pada 14 Julai 1986, satu perisytiharan bersama dibuat oleh empat parti tersebut untuk menubuhkan pakatan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1986.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 1/7/2016

Share on Myspace