Pecutan akhir Ramadan, ayuh infak buat Tautan Rahmat

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

RAMADAN hanya beberapa hari sahaja lagi mahu meninggalkan kita. Ramai yang sudah berkira-kira mahu pulang ke kampung dan telah adapun yang mula bergerak menuju ke desa, bertemu ibu dan ayah, sanak saudara.

Dalam kemeriahan kita menanti Syawal, ramai lagi di luar sana yang masih meniti laluan sukar dalam hidup mereka apatah lagi yang terus dirundung malang akibat tekanan ekonomi mahupun yang duduk di kawasan pedalaman, melalui kehidupan serba dhaif.

Ada dalam kalangan mereka yang hanya mampu meneguk air sejuk dari perigi, dan sesekali sahaja menjamah nasi dengan berlaukkan garam. Di pedalaman Sabah, Sarawak, di kawasan hulu di Semenanjung ada sahaja mereka yang hidup berteduhkan 'langit' berlapikkan 'tanah' kerana kedhaifan hidup mereka.

Apatah lagi bantuan dari sumber kerajaan amat sukar diperoleh tatkala kerenah birokrasi mendominasi setiap permohonan mendapatkan bantuan. Ada dalam kalangan fakir dan miskin ini yang akhirnya didekati ‘missionary’ bukan Islam yang mahu memurtadkan mereka dengan mengumpan wang sara hidup.

Akhirnya mereka lumpuh 'akidah' tergadai sebuah kehidupan. Bertitik tolak dari kesedaran itu, Pertubuhan Tautan Rahmat Malaysia dalam beberapa misinya sejak ditubuhan tiga tahun lalu mendekati golongan ini dan mahu terus menjaga kebajikan mereka dan lebih utama memastikan mereka tidak mudah untuk menukar agama kerana kedhaifan.

Beberapa misi di Semenanjung dan Sabah Sarawak telah diadakan bagi menjayakan program kebajikan untuk mereka, kata Presiden NGO Tautan Rahmat Malaysia, Ustaz Mohammad Ibrahim kepada Harakah hari ini.

"Saya memohon dan merayu kepada semua pihak yang mahu bersama menjayakan misi kebajikan untuk golongan ini dapatlah sedikit menginfakkan bantuan melalui NGO Tautan Rahmat khususnya dalam Ramadan yang masih berbaki empat hari sahaja lagi.

"Moga pecutan akhir Ramadan ini membawa rahmat kepada kita semua," kata Ustaz Mohammad Ibrahim lagi.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Pertubuhan Tautan Rahmat di no akaun Maybank (562188310780) .

Moga setiap sumbangan diganjari pahala.

"Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin dari kami Warga Tautan Rahmat," kata Ustaz Mohammad Ibrahim. – HARAKAHDAILY 2/7/2016

Share on Myspace