Kelantan lancar Wakaf al-Aqsa

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelantan melancarkan kempen Wakaf al-Aqsa bagi mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa kini berdepan dengan kepungan tentera Zionis Israel.

Pelancarannya diadakan malam tadi bertempat di Madinah Ramadan I, disempurnakan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

Mohd Amar berkata Palestin bumi yang berkat dan berada di kedudukan strategik di rantau tersebut.

Katanya, kelebihan yang ada di Palestin di mana terletak kiblat pertama umat Islam menjadikan bumi tersebut menjadi fokus umat Islam di seluruh dunia.

“Ada pihak mempersoalkan mengapa kita asyik membantu umat Islam di Palestin, sedangkan masih ramai lagi penduduk Islam menderita termasuk di Afrika.

“Kelebihan di Palestin tidak ada di tempat-tempat lain biar pun di tempat itu juga terdapat ramai penduduk yang menderita,” katanya pada program berkenaan.

Hadir sama Penasihat Cakna Palestin Mumtaz Md Nawi, anggota-anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat, anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Zamri Ismail dan Pengerusi Cakna Palestin, Wan Sharafi Wan Mustapha.

Pelancaran Infaq al-Aqsa bermula apabila Mohd Amar memasukkan Dinar Emas dalam tabung tersebut.

Pada program itu turut disiarkan tayangan video kecekalan umat Islam di Palestin bagi mempertahankan Masjidil al-Aqsa biar pun berdepan ancaman keras tentera Zionis.

Mumtaz pula berkata umat di seluruh dunia mengesa umat Islam membebaskan Masjidil al-Aqsa daripada kepungan tentera Zionis Israel.

“Tahun hadapan genap 50 tahun perjuangan umat Islam di Palestin bagi mempertahankan Masjidil al-Aqsa.

“Bumi Palestin yang luas dahulu sekarang hanya tinggal bumi Gaza dan Tebing Barat sahaja. Malah Masjid al-Aqsa milik umat Islam pun berada di bawah kepungan Israel,” katanya.

Bumi Palestin yang pernah didiami jutaan umat Islam sekarang hanya tinggal 400,000 orang sahaja. Manakala penduduk Yahudi pula bertambah kepada 400,000 orang.

Orang ramai yang ingin membantu umat Islam di Palestin boleh menyumbang kepada Cakna Palestin melalui Bank Rakyat 111181000194.

Manakala pada program lain Timbalan Menteri Besar turut meraikan anak-anak Kelantan yang pulang berhari raya pada makan colek di Madinah Ramadan I.   – HARAKAHDAILY 3/7/2016

Share on Myspace