Saya sedia kembali menetap di Kelantan - Mustafa

IBNU NASRUDDIN | .

KOTA BHARU: Budaya dan suasana agama yang subur dipertahan di Kelantan sehingga sekarang sesuai diterjemah kepada layar perak untuk diketengahkan kepada umum.

Pelakon terkenal Mustafa Kamal berkata Kelantan boleh muncul sebagai hub industri perfileman negara yang berunsur Islam.

Katanya kehidupan mengikut acuan agama masih lagi menebal dalam masyarakat Melayu Kelantan.

“Keadaan itu tanpa perlu direka atau dilakon semula. Ia sesuai sekali bagi menghasilkan produk filem bercorak Islami.

“Saya mengakui Kelantan mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri sekiranya kerajaan negeri turut berminat untuk Kelantan muncul sebagai hub perfileman Islam,” katanya di Sanggar Selebriti di Pentas Syarah, Laman Sejahtera Madinah Ramadan I semalam.

Sanggar Selebiriti dikendalikan Pertubuhan Intelek dan Graduan Kelantan (I-GRAD).

Mustafa juga berkata beliau sedia pulang menetap di Kelantan sekiranya industri perfileman Islam digerakkan di negeri tersebut.

"Jika benar ada hasrat baik ini, saya anak Kelantan pertama yang akan pulang. Saya juga bersedia untuk membantu dengan pengalaman yang ada bagi mencapai hasrat tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini kerajaan negeri mewujudkan Darul Digital Multimedia Solution yang memberi latihan asas animasi, multimedia, video dan penggambaran kepada belia yang berminat.

Malah filem berunsur Islam yang pernah memenangi box office antarabangsa dari Iran pernah ditayang di Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/7/2016

Share on Myspace