Kurangkan rumah terbuka, bantu mangsa tertindas

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyarankan agar masyarakat Islam mengurangkan acara rumah terbuka yang terlalu banyak di negara ini sehingga berlaku pembaziran. Adalah lebih afdal masyarakat Islam berusaha menyalurkan sumbangan kepada jutaan kaum Muslimin yang kini menjadi pelarian dan menghadapi nasib yang sangat malang akibat konflik berpanjangan di beberapa negara di Timur Tengah.

Kami berpandangan bahawa perlu ada satu anjakan di kalangan umat Islam di negara ini yang terlalu tertumpu kepada jamuan makan dalam pelbagai jenis sambutan sehingga berlaku pembaziran. Acara rumah terbuka yang menjadi suatu kebanggaan di kalangan rakyat di negara ini kini menjadi agak keterlaluan. Hampir semua peringkat menganjurkan acara rumah terbuka  jabatan kerajaan, masjid dan surau, parti politik, agensi swasta, ahli parlimen dan Adun. Padahal terlalu ramai umat Islam yang teraniya yang tidak mendapat makanan asas sehingga berlaku kebuluran di tengah-tengah kemewahan makanan yang dibazirkan oleh golongan kaya di kalangan umat Islam.

Mengadakan rumah terbuka bertujuan mengeratkan silaturahim dan menjalinkan perhubungan antara kaum di negara ini adalah baik, akan tetapi terlalu banyak rumah terbuka dan hidangan juadah makanan yang pelbagai aneka yang akhirnya jika dinilai dalam bentuk wang, ratusan ribu malah jutaan ringgit itu lebih baik diutamakan kepada masyarakat Islam yang kebuluran seperti di Somalia, Sudan, Afganistan, Gaza (Palestin), Syria dan Myanmar.

MAPIM mengesa seluruh kaum Muslimin menghayati erti ibadah Ramadhan serta sambutan Aidil Fitri dalam erti kata sebenar. Menjelang sambutan hari raya puasa beberapa hari lagi, petanda keghairahan berbelanja berlebihan oleh sebahgian besar masyarakat Islam masih terus diamalkan tanpa memahami maksud Aidil Fitri itu disambut.

Setiap kali sambutan Aidil Fitri, sering dilihat pelbagai budaya yang bercanggah dengan maksud Aidil Fitri itu diamalkan sendiri di kalangan umat Islam di mana-mana. Bukan sahaja hiburan yang berlebihan yang menyalahi aturan syariat seperti pakaian, pergaulan dan campur aduk lelaki dan wanita serta pembaziran yang berleluasa diamalkan, malah mencemari hari yang mulia dengan budaya berbelanja yang berlebihan menjadi kelaziman.

Ternyata bulan Ramadhan yang mendidik kesedaran untuk hidup sederhana dan mengutamakan keperluan dilupakan apabila sambutan Aidil Fitri tiba. Sepertimana Ramadhan dijadikan pesta makan, demikian juga Aidil Fitri menjadi acara yang penuh dengan budaya berbelanja berlebihan dan acara rumah terbuka yang bermewahan dengan juadah makanan tanpa had.

Kami kesal sikap menjadikan sambutan Aidil Fitri sebagai pesta membeli belah dan jamuan hari raya yang penuh dengan pembaziran. Masyarakat Islam terbawa-bawa dengan pengaruh iklan dan promosi produk untuk berhari raya yang melampaui batas.

Iklan sambutan hari raya dengan pelbagai gimik jualan telah menjadikan Aidil Fitri yang sepatutnya merupakan hari suci bagi umat Islam akan tetapi dicemari dengan ciri-ciri yang bertentangan dengan roh yang dididik ketika menjalani ibadat Ramadhan.

Kami kesal dengan keghairahan komersialisasi sambutan Aidil Fitri yang sepatutnya diharamkan oleh pihak berkuasa agama. Bukan sahaja komersialisasi Iftar berleluasa diiklan di seluruh negara, kini komersialisasi Aidil Fitri juga menjadi-jadi. Di serata pelosok bandar, iklan seperti "Hari Raya Mega", "Bergaya di Hari Raya" dipaparkan. Eksploitasi kanak-kanak dan selebriti untuk melariskan produk telah menghilangkan tumpuan masyarakat terhadap kemuliaan Aidil Fitri.

Sambutan berunsur pembaziran yang berlawanan dengan roh agama kini telah menjadikan Aidil Fitri tidak dilihat sebagai sambutan agama tetapi sebaliknya pesta pembaziran dan hiburan untuk meraih keuntungan semaksimum mungkin.

Sementara jutaan umat Islam kini menjadi pelarian akibat konflik di pelbagai negara, malangnya umat Islam membazirkan sumber dengan budaya berhari raya yang berlebihan. Terlalu ramai umat Islam yang masih tidak dapat memenuhi keperluan asas untuk makan, tempat berteduh, berpakaian yang sempurna, pendidikan dan rawatan kesihatan asas. Malangnya di tengah-tengah gambaran pedih itu, masih ramai umat Islam yang tidak kisah membazirkan makanan, pakaian dan pelbagai sumber yang berharga untuk masyarakat Islam yang terpinggir.

Harus diinsafi betapa sengsaranya pelarian Syria, Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Libya, Yemen. Semuanya menghadapi fitnah paling getir untuk menyambung nyawa dalam keadaan yang sangat tertekan. Bukankah membantu mereka ini jauh lebih utama berbanding memenuhi kepuasan nafsu berhari raya berlebihan yang tidak pernah puas-puas?

Kami mengingatkan jika umat Islam maseh leka dengan budaya konsumerisme membazir dan menyalurkan sumber kepada hal-hal yang tidak bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara, kami merumuskan masa depan ummah akan gelap.

Transformasi diri yang sepatutnya berlaku di bulan Ramadhan hendaklah diterjemahkan ketika menyambut 1 Syawal. Sikap hidup sederhana, berhemat dan penuh hati-hati untuk mewariskan sumber ummah kepada generasi akan datang adalah sikap yang perlu ditanam dan dihayati. Hanya dengan demikian persoalan umat akan terungkai kearah melahirkan kualiti khaira ummah seperti yang diungkap di dalam Al-Quran dan diteladankan oleh Rasulullah s.a.w.

Mapim melancarkan Rayuan Syawal "Tabung Syukuri Nikmat Aidil Fitri" bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa pelarian konflik di Syria, Gaza, Tebing Barat Palestin, Myanmar (Rohingya) dan Yemen. Kepada mereka yang mahu menghulurkan sumbangan sila sumbang kepada Dana Mapim Maybank 558220605312. - HARAKAHDAILY 5/7/2016

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace