Jangan terlibat dengan kumpulan ekstremis

HARAKAHDAILY | .

Umat Islam jangan terlibat dengan Gerakan IS dan semua kumpulan ekstremis lain, kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Rasulullah SAW diutus untuk bawa rahmat bukan bencana. Islam diturunkan untuk membawa misi penyelamat, sama ada kepada individu atau negara. Sikap melampau bercanggah dengan manhaj dakwah para anbia'. Bahkan semua agama melarang sikap melampau.

Dalam perjuangan agama dan melaksanakan Islam, umat Islam tidak boleh bergopoh-gapah, dan tidak boleh mengambil jalan mudah. Mereka yang inginkan kemenangan yang cepat akan bertindak secara agresif dan meminggirkan segala hukum larangan Islam sehingga menimbulkan gambaran yang salah terhadap Islam.

Pengakuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa dua daripada 15 yang ditangkap berkait serangan di Puchong yang dikatakan didalangi IS adalah anggota polis telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Ia juga sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

Namun begitu, sekarang waktu untuk bersatu-padu dan saling mempercayai, dan bukan saling salah-menyalahi.

PAS berharap KPN dan PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar pasukan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam membendung ISIS daripada terus melakukan kerosakan kepada negara.

PAS juga meminta orang ramai turut memainkan peranan dengan sentiasa menjaga keselamatan di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 5/7/2016

Share on Myspace