PAS kecam insiden letupan di Madinah

HARAKAHDAILY | .

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

PAS mengecam insiden letupan yang mengegarkan Masjid Nabawi semalam ketika para jemaah sedang berbuka puasa. Insiden berdarah ini menyebabkan kematian 4 orang pegawai keselamatan dan mencederakan 5 yang lain.

PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi tidak berperikemanusiaan ini.

PAS juga merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan Arab Saudi dan seluruh rakyatnya yang menjadi sasaran beberapa siri letupan berdarah semalam.

Kejadian letupan kali ini adalah kemuncak daripada kejadian yang menimpa Negara-Negara Umat Islam apabila Masjid Nabawi dan kota suci kedua Islam menjadi mangsa tindakan tidak bertamadun ini.

Insiden kali ini memberikan satu isyarat penting kepada seluruh umat Islam, serangan berdarah secara berterusan dengan “imej islam” kononnya yang bertujuan untuk memberikan imej negatif kepada Islam, menuntut satu penyelesaian secara menyeluruh perlu diusahakan oleh pemimpin-pemimpin umat Islam.

Sekali lagi saya menyeru kepada seluruh pemimpin umat Islam supaya kembali kepada Islam dan menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada seluruh masalah ummah.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
30 Ramadhan 1437 / 5 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 5/7/2016

Share on Myspace