Sejarah: PAS junjung kasih kepada Agong

HARAKAHDAILY | .

PAS RAKAM JUNJUNGAN KASIH KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG KERANA PERKENAN BERSIH 2.0 MENGADAP (5 JULAI 2011)

PADA hari ini dalam tahun 2011, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengutuskan ucapan junjungan kasih bagi pihak PAS kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin di atas ampunan perkenan mengadap Baginda kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Mursyidul Am PAS yang mengutuskan surat dari Tanah Suci Mekah bagi melahirkan junjungan kasih kepada Ketua Negara dalam usaha parti-parti politik dan NGO untuk menuntut diadakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini. Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberikan ampunan perkenan untuk membolehkan Bersih 2.0 mengadap dan menyerahkan tuntutan-tuntutan pilihan raya tersebut.

Bersih 2.0 yang diketuai oleh tokoh pejuang hak asasi manusia, Datuk Ambiga Sreenevasan telah merancang menganjurkan himpunan besar-besaran pada 9 Julai 2011 bagi mengemukakan tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Selain NGO, ia turut disertai oleh PAS, PKR dan DAP.

Ini adalah kali kedua tuntutan pilihan raya bersih dan adil dibuat selepas kali pertama diadakan pada 2007. Mengikut rancangan awal, himpunan ini akan diadakan di Masjid Kampung Baru, Kompleks Sogo, Dewan Bandaraya dan Dataran Merdeka. Tetapi himpunan ini kemudiannya dipindahkan ke Stadium Merdeka di atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Bersih 2.0 ini ditubuhkan ekoran isu-isu pilihan raya bersih seperti penyalahgunaan kuasa SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), salah guna media, isu persempadanan pilihan raya, politik wang dan sebagainya.

Pada 19 Jun 2011, Bersih 2.0 telah dilancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang dihadiri oleh pemimpin parti-parti pembangkang dan juga NGO hak asasi manusia. Respons terhadap usaha parti-parti pembangkang ini, Perkasa telah menubuhkan Gerak Aman.

Mereka mengadakan satu perhimpunan untuk membantah Bersih 2.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, selain merancang untuk berhimpun di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Stadium Merdeka dan Istana Negara, di samping membuat 1,278 aduan polis. Pergerakan Pemuda Umno pula mengaturkan Himpunan Patriot yang menentang Bersih 2.0.

Dalam menangani pergolakan ini, pada 3 Julai 2011, Yang di-Pertuan Agong telah membuat Titah Khas Istana Negara Dibawah Duli Tuanku yang melarang rakyat mengadakan himpunan jalanan, sebalik mencadangkan ia diadakan secara tertutup di mana-mana stadium.

Pada 5 Julai 2011, Datuk S Ambiga bersama beberapa pemimpin Bersih 2.0 telah mengadap Yang di-Pertua Agong di Istana Negara dan bersetuju supaya perhimpunan diadakan secara tertutup. Hasil rundingan dengan kerajaan, akhirnya dipersetujui supaya perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka, tetapi seramai 91 orang pemimpin Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur.

Sebagai menjunjung kasih terhadap keprihatinan Baginda dalam menangani masalah rakyat, khususnya berkait dengan tuntutan pilihan raya bersih ini, Mursyidul Am PAS telah mengutuskan surat pada 5 Julai 2012 untuk merakamkan junjungan kasih kepada Baginda.

PAS juga merakamkan menjunjung kasih kerana Baginda memberikan ampunan perkenan bagi membolehkan pemimpin Bersih 2.0 mengadap dan menyerahkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil kepada Baginda.

Walaupun Baginda tidak memperkenankan himpunan dan perarakan jalanan diadakan, Baginda telah mencadangkan supaya himpunan diadakan secara tertutup di mana-mana stadium supaya ia tidak menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara. PAS menyifatkan tindakan bijak Baginda sebagai simbol keprihatinan Baginda terhadap isu-isu rakyat.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 5/7/2016

Share on Myspace