Filem pendek dakwah sempena Idulfitri 1437

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR | .

Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Selangor telah berjaya menerbitkan sebuah filem pendek dakwah sempena Hari Raya tahun ini. Filem bertajuk "Doa Ayah" berdurasi selama 7 minit ini membawa mesej kekeluargaan.

Tahun ini merupakan tahun ke-6 filem pendek dakwah seperti ini diterbitkan. Bermula dari tahun 2011 sehinggalah ke tahun 2016. Filem pendek ini telah diterbitkan bersama Pemuda PAS Gombak, Rahmat Care, UMC Auto Service dan Kashfy. Turut sama membintangi filem ini adalah selebriti tersohor tanah air iaitu saudara Bob Lokman. Ucapan nasihat daripada Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim selaku Ketua Pemuda PAS Selangor turut diselitkan di hujung filem.

Filem ini mengisahkan kehidupan dua beradik miskin yang telah kehilangan ibu dan tinggal bersama ayah mereka di kampung. Konflik keluarga timbul bila ayah mereka tidak lagi berupaya untuk mencari nafkah dan si anak masih mengharapkan duit daripada ayah mereka.

Tujuan filem pendek ini dihasilkan adalah untuk mendidik masyarakat agar menghormati kedua ibu bapa. Memandangkan institusi kekeluargaan merupakan tunjang kepada kestabilan sesebuah masyarakat, jadi amat penting sikap menghormati ibubapa dititik beratkan.

Sempena Hari Raya yang bakal menjelma, DACS Selangor ingin menyampaikan mesej melalui filem pendek kepada semua agar rebutlah peluang ini untuk memohon keampunan dan restu kedua ibu bapa bila pulang ke kampung masing-masing.

DACS Selangor menggunakan medium maya untuk diketengahkan filem pendek dakwah ini iaitu melalui saluran YouTube. Memandangkan ianya lebih dekat dikalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi golongan muda-mudi. Filem pendek ini telah disiarkan ke YouTube pada 29 Jun 2016 yang lepas dan sehingga kini jumlah "views" hampir ke angka empat ribu.

Untuk akhirnya, kami daripada pihak penerbit DACS Selangor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para individu dan organisasi yang telah membantu kami sehingga terhasilnya filem pendek ini.

Insya Allah dengan sumbangan daripada semua pihak, ianya amat membantu pihak DACS Selangor sebagai jabatan seni di bawah Pemuda PAS Selangor untuk terus menerbitkan pelbagai lagi karya-karya seni seperti filem pendek ini ke tengah-tengah masyarakat sebagai alternatif hiburan bermanfaat. - HARAKAHDAILY 5/7/2016

Penulis ialah Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Selangor.

Video

Share on Myspace