Perutusan Idulfitri 1437 Ketua Dewan Muslimat PAS

HARAKAHDAILY | .

Saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang telah mengurniakan Ramadhan dengan segala kelebihan dan keagungan buat kita umat Islam.

Sama-sama kita berdoa mudah-mudahan segala amalan dan doa kita diterima oleh-Nya.

Kita juga berdoa semoga kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan-Ramadhan seterusnya.

Berakhirnya Ramadhan dan menjelang tiba Syawal ini, kami mengucapkan "Selamat Eidulfitri, Minal Aidin Wal Faiziin, mohon Maaf Zahir Batin. TaqabbalalLahu minna wa minkum" kepada seluruh umat Islam di mana sahaja berada.

Marilah kita hayati hari kemenangan fitrah ini dengan mengikut adab-adab yang dianjurkan oleh Islam seperti:

a) menghidupkan malam Raya dengan pelbagai ibadat seperti solat fardhu berjamaah, solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

b) mandi sunat Eidulfitri sebelum mendirikan solat sunat Eidulfitri pada paginya

c) ziarah-menziarahi kerana Allah

d) menjaga diri daripada melakukan adab-adab yang bertentangan dengan ajaran dan budaya Islam seperti berpakaian tidak mengikut kehendak syarak, pergaulan bebas dan sebagainya.

DMPM juga bersetuju dengan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor yang menyarankan agar stesen-stesen televisyen menyediakan program sambutan Eidulfitri yang memenuhi kehendak syarak.

Akhirnya, Salam Eidulfitri, semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Amin ya Robbal 'Alamin.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Ramadhan 1437 / 5 Julai 2016

Share on Myspace