Sejarah: Ustaz Ishak Lotfi dilantik MB Kelantan pertama

HARAKAHDAILY | .

Ustaz Ishak Lotfi Dilantik Menteri Besar Kelantan Pertama (9 Julai 1959)

PADA hari ini dalam tahun 1959, ADUN Kota Bharu Selatan, Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang pertama selepas merdeka, setelah PAS berjaya memenangi 28 daripada 30 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 20 Mei 1959. Turut mengangkat sumpah ialah Haji Mohamad Nasir (Machang Utara) selaku Timbalan Kepada Menteri Besar serta Tengku Mohamad ibni Sultan Mohamad Ke-IV (Pasir Puteh Utara), Ustaz Abdullah Yusof (Tok Uban), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh Tengah), Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Meranti), Mohd Yusof Noor (Machang Selatan), Abdul Rahman Daud (Rantau Panjang) dan Cikgu Mohd Daud Jamil (Tanah Merah Timor) sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, manakala Mohd Asri Haji Muda (Kota Bharu Tengah) sebagai Speaker DUN Kelantan.

Dato' Bentara Jasa Haji Ishak Lotfi adalah Menteri Besar Kelantan ke-11 sejak 1775 menggantikan Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang menjadi Menteri Besar sejak 1953. Beliau yang dilahirkan pada 1918 di Kampung Masjid, Kota Bharu dalam sebuah keluarga politik, berpangkat cicit kepada Dato' Maha Menteri Che Saad Penghulu Ngah, Menteri Besar Kelantan (1890-1894) yang terkenal itu. Beliau juga adalah anak saudara kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda (bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan As'ad Shukri Haji Muda (bekas Ketua KMM Kelantan), selain anak tiri kepada Mohd Daud Salleh (bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Ibunya, Che Minah Haji Muda adalah kakak Dato' Mohd Asri.

Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya yang merupakan pusat pengajian Islam terbesar ketika itu. Beliau belajar di Masjid Muhammadi, Sekolah Arab MAIK dan Sekolah Melayu Jalan Post Office Lama, sebelum belajar di Mekah selama 10 tahun sejak 1927. Antara gurunya di Mekah ialah Pak Da Eil al-Fathani dan Haji Noh Jamaluddin Kelantan. Pada 1937, beliau pulang ke Kelantan dan mula terlibat dengan politik. Beliau mengasaskan percetakan Matba'ah al-Maarif pada 1938, selain menjadi pengarang majalah ar-Riwayah. Beliau terlibat dengan politik melalui Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Melayu, selain turut terlibat dengan Pemuda Asuhan Bekerjasama (PAB) dan menyertai KMM sebelum Perang Dunia Kedua. Pada zaman Jepun, beliau menyertai Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK), kemudian menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) sejak 1945, terlibat mengasaskan Umno pada 1946 dan akhirnya beliau menyertai PAS pada 1952.

Dalam perkhidmatan awam, beliau dilantik sebagai Pegawai Pelajaran MAIK pada 1945, kemudian menjadi Penolong Pegawai Zakat mulai Jun 1949, sebelum dilantik sebagai Pegawai Agama MAIK hingga 1959. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Agama Majlis Raja-raja. Dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1959, beliau dipilih sebagai ADUN Kota Bharu Selatan, dan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 9 Julai 1959. Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga 10 Mei 1964, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan (1964-1968) dan menjadi Menteri Besar kali kedua (1973-1974).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 9/7/2016

Share on Myspace