Amerika gagal hapus polisi rasis

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Teras Pengupayaan Melayu berpendapat Amerika Syarikat (AS) jelas gagal mengendalikan isu rasisme yang menjadi barah yang masih hidup dalam nurani rakyatnya.

Insiden pembunuhan 5 orang anggota polis berkulit putih di Dallas beberapa hari yang lalu oleh seorang bekas anggota rizab tentera AS, Micah Johnson yang berkulit hitam jelas menunjukkan betapa rapuhnya sistem sosial ekonomi dan politik AS yang masih pada hakikatnya sangat bias kepada golongan kulit putih.

AS yang sering berbangga dengan slogan liberti, kebebasan dan demokrasi tidak boleh menjadi juara kepada dunia untuk mengajar negara lain bagaimana hendak mengendalikan perhubungan antara ras.

Dengan rekod keganasan polis kulit putih yang menyasarkan golongan kulit hitam (African-American) mencecah sekitar 1,300 kes pada tahun 2015 dan 30% mangsa melibatkan warga kulit hitam, rakyat AS sendiri melihat bagaimana sistem urus tadbir negara itu gagal. Warga kulit hitam masih menjadi mangsa dan berasa tertekan serta tersisih dalam pembangunan negara AS itu sendiri.

Apa yang nyata ialah atas nama demokrasi dan kebebasan, AS tidak berjaya menguruskan keadilan untuk warganya sendiri. Diskriminasi dan kecenderungan untuk mengkriminalisasikan golongan kulit hitam terus menerus menghantui sistem sosial negara Uncle Sam itu.

Insiden di Dallas adalah antara petanda betapa kemarahan komuniti African-American di AS sedang memuncak. Kini kota-kota di AS menyaksikan warga kulit hitam berdemonstarsi di jalan raya menuntut keadilan. Slogan "Black Lives Matter" dan "No Justice , No Peace" adalah petanda bahawa AS kini terdedah sebagai negara yang ditadbir penuh dengan diskriminasi ke atas rakyatnya sendiri.

Sebenarnya inilah bukti betapa sistem sosio AS sangat rapuh. Walaupun buat pertama kali warga kulit hitam, Barack Obama menjadi Presiden AS akan tetapi jika diteliti secara lebih terperinci diperingkat lokal, masih ramai komuniti warga kulit hitam di AS yang mengalami hidup yang sangat terpinggir dan tersisih. Kawasan terpinggir di AS masih banyak dihuni oleh warga kulit hitam.

Ditambah sikap rasis yang masih dimilikki oleh sebahgian besar pihak sekuriti yang memangsakan warga kulit hitam, ternyata AS berpotensi untuk runtuh kepada negara yang terpecah dan bukan lagi "United States" . Insiden tindakan brutal polis ke atas warga kulit hitam semakin kerap berlaku. Sentimen tidak selamat dan sentiasa rasa terancam di kalangan warga kulit hitam berleluasa di AS.

Jika dilihat di peringkat global AS samasekali tidak boleh mewakili suara keadilan dan kesaksamaan. Dasar luarnya yang jelas sangat dominatif untuk menguasai seluruh aspek kehidupan didunia sama ada dalam perdagangan, pertahanan, eksploitasi sumber alam, pendidikan dan budaya telah menunjukkan AS mengamalkan dasar berpihak kepada kepentingan golongan elit. Akibatnya sengang antara kaya dan miskin semakin melebar akibat dari dasar diskiminatif AS.

Lebih-lebih lagi AS yang menjadi alat kepada kepentingan Israel terus menerus mengamalkan diskriminasi kepada negara-negara yang tidak sealiran dengannya. AS menyokong tindakan brutal Israel yang memangsakan warga Palestin sejak enam dekad yang lalu. Jutaan warga Palestin menjadi mangsa akibat dasar rasis Israel yang didukung oleh AS.

Kini AS terpaksa menghadapi akibat dari dasar rasisnya. Respons diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi anti keganasan polis oleh warga kulit hitam dan warga AS yang menolak sistem rasis negara itu. Insiden dua orang warga kulit hitam dibunuh oleh polis, ditambah ratusan insiden sebelum ini, mencetuskan kemarahan warga AS sehingga ketegangan rasial kini menjadi kenyataan yang sukar dikawal.

Teras mengesa Kerajaan Malaysia mengambil perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di AS. Sensitiviti antara kaum dan penganut agama perlu dipelihara serta mengukuhkan kontrak sosial berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang disepakati oleh seluruh rakyat hendaklah disuburkan. - HARAKAHDAILY 9/7/2016

Penulis ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu.

Share on Myspace