Muhasabah buat kecemerlangan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Jika anda terlalu perlahan, anda akan ketinggalan di belakang. Jika anda terlalu laju di depan, anda akan meninggalkan ramai di belakang. Tetapi kelebihannya adalah anda akan sentiasa di depan dan memimpin. Kejayaan dan kecemerlangan memerlukan kepimpinan di hadapan yang berani.

Begitu motivasi hari ini buat anak muda. Berani berubah dan mencipta yang baru bagi memimpin perubahan masa dan kehidupan ke arah kecemerlangan.

Tetapi setiap kecemerlangan memerlukan peringatan dan muhasabah yang benar dan berani. Di antara muhasabah yang benar adalah perihal kesangatan untuk berubah dan mencipta yang baru.

Benar, jangan kisahkan sangat manusia ramai merungut dek jauh ketinggalan di belakang, tetapi bagaimana jika anda terlalu laju di depan sehingga meninggalkan ugama? Hidup anda berubah, tetapi anda telah terputus daripada panduan agama?

Islam adalah agama yang memilih kemudahan, melebar keceriaan, mencetus pembaharuan dan menganjur perubahan dan kemajuan. Tetapi Islam adalah ugama yang sederhana. Kesederhanaan adalah paling asli dalam ugama Islam. Dengannya, ia mampu melihat kebahagiaan akhirat melangkaui pesona duaniawi yang sentiasa memerangkap gedik kealpaan dan kelalaian.

Terlalu laju adalah menyalahi kesederhanaan. Apabila anda terlalu mahu berubah, anda mungkin kehilangan sifat kesederhaan yang amat diperlukan bagi menjaga penguasaan agama dalam diri dan kehidupan anda.

Peringatan ini adalah begini; Biarkan agama memimpin perubahan dan kelajuan anda. Jika tidak, anda berubah dengan telunjuk nafsu anda.

Pada Ramadhan baru-baru ini, anda telah diberitahu bahawa nafsu adalah bahana yang merosakkan ugama kita. Maralah ke hadapan dengan keberkatan daripada tuhan-mu. Kembalilah membaca, mentadabbur dan hidup bersama al-Quran. - HARAKAHDAILY 9/7/2016

Share on Myspace