One-off RM500: Kenapa berdalih lagi?

HARAKAHDAILY | .

One-off RM500: Naikkan harga getah dengan dana khas, kenapa berdalih lagi?

Sehingga kini, selepas hampir sebulan diumumkan, kerajaan ternyata masih gagal melunaskan janji memberi bantuan khas (one-off RM500) kepada penoreh dan pekebun kecil getah. Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) telah menyatakan sebaik sahaja bantuan khas ini diumumkan oleh Perdana Menteri bahawa pengumuman PM berkaitan hal tersebut adalah rasuah politik menjelang PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Selain gagal membayar one-off RM500 ini, terdapat juga aduan pekebun getah bahawa bantuan tanaman semula getah yang telah diluluskan selepas pemeriksaan juga tidak dibayar oleh Risda. Kerajaan juga masih gagal membayar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) melalui LGM selepas 7 bulan tuntutan dibuat oleh penoreh.

Pengerusi Risda yang juga Ahli Parlimen Padang Besar (BN) memaklumkan dalam akhbar semalam bahawa Risda sedang mencari jalan penyelesaian akibat kelewatan ini kerana berlaku masalah dalam tuntutan one-off antara pekebun dan penoreh.

Beliau mendakwa kononnya ada cubaan menipu oleh penoreh yang membuat tuntutan beberapa kali.

Alasan ini hanyalah dalih terbaru kerajaan kerana borang tuntutan antara pekebun dan penoreh adalah berasingan, berlainan warna dengan syarat-syarat yang ketat.

Tambahan pula, Risda memiliki rekod berhubung hal itu kerana bayaran seumpama ini pernah dilakukan pada tahun 2014. Risda juga memiliki data-data daripada bancian yang dijalankan tahun yang sama.

Tuduhan yang dibuat kepada penoreh ini sangat serius, seolah-olah pihak kerajaan sentiasa betul, cekap dan efisyen, rakyat yang menjadi penoreh sentiasa bermasalah dan tidak jujur.

Berdasarkan trend kegagalan kerajaan membuat bayaran-bayaran yang diumumkan dalam belanjawan negara (IPG), yang dijanjikan oleh Perdana Menteri (one-off), dan bantuan tanam semula yang termaktub dalam Akta Risda Bil. 85/1972, ternyata masalah sebenar bukan datangnya daripada penoreh.

Ia berpunca daripada pemimpin politik BN Umno yang hanya pandai berjanji atas matlamat meraih undi dan sokongan.

Kelemahan agensi kerajaan yang menguruskan hal itu juga berpunca daripada pemimpin politik yang memperkudakan agensi untuk kepentingan politik kepartian mereka, tanpa persiapan yang munasabah.

Adakah kerajaan sekarang sebenarnya tidak memiliki dana yang cukup untuk melunaskan janji dan tanggungjawab mereka? Kalau benar, mengapa penoreh pula yang dipersalahkan?

Sejak awal lagi LATAS telah mendesak supaya kerajaan menggunakan dana khas tersebut untuk menaikkan harga getah, dengan demikian pihak pekebun dan penoreh akan menerima lebihan bahagian masing-masing dengan harga getah yang lebih baik. Kaedah ini telah berjalan berpuluh tahun tanpa masalah.

LATAS mendesak pihak kerajaan segera melunaskan ketiga-tiga kategori bayaran tersebut kepada penoreh tanpa sebarang dalih dan alasan lagi.

Kerajaan tidak wajar sama sekali meletakkan rakyat miskin dari kalangan penoreh dalam situasi bersalah untuk menutup kegagalan pihak kerajaan, sambil memusnahkan harapan mereka yang telah lama menanti bayaran yang dijanjikan kepada mereka.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi LATAS PAS Pusat
10 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 10/7/2016

Share on Myspace