Islam haramkan rasisme

HARAKAHDAILY | .

Rasisme adalah sesuatu yg melampaui sifat kasihkan kaum sendiri. Ia membawa ciri membenci kaum yang lain, mahu menjatuh dan memusnah serta menindas kaum yang lain. Mahu merampas hak yang dimiliki kaum lain. Ia tidak mempedulikan neraca betul atau salah, dosa atau pahala, adil atau zalim. Kerana itu pesalah dari kaum sendiri dipertahankan. Mereka yang baik dari kaum lain dikeji, dipersalah dan difitnahkan.

Islam mengharamkan dan mengecam sifat rasisme ini. Ia disebut assobiyah.

Adapun kasih dan sayang kepada kaum sendiri, memperjuangkan hak dan kepentingan kaum adalah sesuatu yang merupakan fitrah semulajadi manusia untuk berbuat baik kepada mereka yang dari kaum kerabat yang dekat, seterusnya jiran tetangga dengan peraturan tertentu yang ditentukan Islam.

Kerana itu, tiada salahnya kita menyokong usaha Dewan Himpunan Penyokong PAS bersuara bagi mewakili kepentingan kaum Cina dan India serta kaum lain. Ia adalah sesuatu yang munasabah dan harus dipertimbang dengan saksama.

Begitu juga tidak salah untuk PAS bercakap tentang masalah kemunduran orang Melayu. Masalah rampasan tanah Melayu di bandar, masalah tanah rezab Melayu, ekuiti ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan, isu bahasa,  dan sebagainya, masalah jurang pembangunan negeri di Pantai Barat berbanding negeri bermajoriti Melayu di Pantai Timur yang menyumbang hasil petroleum kepada negara. Masalah hak orang Melayu.

Kerana perkara yang menjadi hak adalah suatu yang perlu dijaga dan dipertahankan sepertinya hak keluarga tertentu dalam soal kunci kaabah dan soal hak penjagaan sumber air zam zam di Mekah.

AHMAD AMZAD HASHIM
Penasihat Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti)
10 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 10/7/2016

Share on Myspace