Jangan biar Sarawak Report terus perdaya rakyat

HARAKAHDAILY | .

Jangan biar Sarawak Report terus memperdayakan rakyat Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah melahirkan kebimbangan bahawa laman Sarawak Report sedang memperdayakan orang ramai dengan pendedahannya mengenai Laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB.

Dr Salleh bertegas bahawa Laporan Ketua Audit Negara merupakan salah satu komponen yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporan akhir badan itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Oleh itu, beliau berkata laporan yang lengkap ialah laporan daripada PAC, dan apa yang didedahkan Sarawak Report telah menyimpang jauh daripada kebenaran.

Bagi menyelesaikankebimbangan Dr Salleh dan juga kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak dan untuk menghalang Sarawak Report terus daripada memperdayakan rakyat, PAS mendesak agar laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang tulen mesti didedahkan segera, memandangkan sekatan akses terhadap Sarawak Report ternyata gagal membendung portal ini daripada memperdayakan rakyat Malaysia.

Dengan menggunakan laporan audit yang tulen, kerajaan melalui media-medianya boleh menunjukkan di mana silapnya laporan Sarawak Report dan bagaimana rakyat sedang diperdayakan, seperti yang dituduh oleh Dr Salleh.

Diharap kerajaan BN terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat mengambil langkah proaktif ini.

Bukankah kemenangan besar pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah memberikan keyakinan penuh kepada PM dan BN bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan lagi dengan skandal 1MDB?

Ini hanyalah satu laporan audit, seperti kata Dr Salleh, ia cuma satu komponen kecil untuk PAC menyediakan laporannya terhadap 1MDB. Bukan itu sahaja, malah semua pengkritik 1MDB dalaman seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal bukan lagi ahli Umno.

Jadi apa yang perlu dirisaukan?

Lawan fakta dengan fakta.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
10 Julai 2016 / 5 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 10/7/2016

Share on Myspace