'Ayaq sat ada sat tak dak pi mana'

HARAKAHDAILY | .

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan seluruh Exco Kerajaan Negeri Kedah perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap masalah dan kegagalan menyediakan bekalan air bersih khususnya yang berlaku dalam tempoh menyambut Aidilfitri.

Bidasan Bashah kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) berhubung layanan terhadap aduan awam hanyalah umpama menghempas batu ke kaki sendiri. Malah, bebelan beliau itu juga tidak lebih sekadar gimik politik untuk menyelamatkan diri dari dipersalahkan, sedangkan dirinya juga adalah Pengerusi Sada.

Begitu juga Ahli Exco, Datuk Badrol Hisham Hashim yang memegang portfolio berkaitan, tidak perlu bertindak seperti samseng dengan mengugut untuk mengambil tindakan tatatertib kepada kakitangan Sada. Masalah atau kelemahan yang berlaku adalah isu 'rumah tangga' Sada dan tidak perlu diheret ke pengetahuan media atau awam.

Rakyat Kedah bukannya mendapatkan bekalan air itu secara percuma, tetapi dengan wang. Oleh itu, mereka berhak mendapat keperluan dari kemampuan membayar yang dibuat. Sebarang kegagalan menyediakan perkhidmatan mesti diganti pampasan atau dijamin penyelesaian minima atau penjelasan tindakan.

Kedah mempunyai empangan paling banyak di Malaysia berbanding negeri lain di samping loji rawatan, rumah pam dan terusan yang ada juga memenuhi keperluan negeri. Sumber bekalan air mencukupi bagi kegunaan penduduk, pertanian dan industri di Kedah. Malah, berlaku lebihan yang turut dikongsi oleh kira-kira 5 juta penduduk Perlis dan Pulau Pinang.

Pelbagai masalah yang timbul dan diadukan rakyat seperti ketiadaan paip saluran ke kediaman, putus bekalan air atau hanya keluar angin, air keruh, air perlahan atau terima secara berkala disebabkan tekanan rendah dan pelbagai situasi lain. Senarai diutarakan ini besarnya adalah berpunca dari pengurusan dan pentadbiran.

Air adalah kegunaan wajib bagi makhluk untuk hidup yang tidak perlu diperingatkan kepada sesiapa, apatah lagi sebuah kerajaan. Sepatutnya dengan bekalan yang tidak terjejas, pelan kontingensi untuk menyalurkan perkhidmatan disiapsediakan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan penggunaan seperti hari raya.

Malangnya beberapa hari menjelang Aidilfitri pun telah kecoh hampir di seluruh negeri berkenaan masalah perbekalan air. Jelas ianya kelemahan serius yang mungkin disebabkan oleh individu-individu diamanahkan lebih sibuk dengan hal politik dan kepentingan diri. Akhirnya rakyat menjadi mangsa menghadapi hiruk pikuk yang menyusahkan.

Kedah tidak sepatutnya menghadapi keadaan seperti ini kerana telah membelanjakan RM1.7 bilion untuk menyediakan perkhidmatan perbekalan air. Mengecewakan apabila dari penilaian yang dilakukan terhadap kemudahan berkaitan telah mendapati ianya ketinggalan jauh 40 tahun ke belakang.

Misalnya loji pembersihan di Padang Sanai, diukur berdasarkan kapasiti pengeluarannya sekadar munasabah pembinaan menelan kos sekitar RM50 hingga RM60 juta, tetapi telah menghabiskan RM155 juta. Manakala di Lubuk Buntar yang sepatutnya memadai dibina dengan RM25 juta, tetapi berharga RM65 juta.

Lebih memeranjatkan apabila semua jumlah RM1.7 bilion itu dipikul Kerajaan Negeri Kedah adalah dalam bentuk hutang pinjaman dari Kerajaan Persekutuan yang secara automatik terbeban atas rakyat negeri Kedah. Padahal, sebahagian wang itu pernah ditawar dalam bentuk peruntukan geran (kemudahan asas luar bandar).

Geran sengaja ditolak kerana perlu mengikut spesifikasi pembinaan ditetapkan Kerajaan Persekutuan, berbanding pinjaman membolehkan kerajaan negeri mempunyai pelan binaan dan melantik kontraktor sendiri. Hakikatnya, tender diperolehi oleh syarikat yang ada kepentingan pemimpin Barisan Nasional.

Ini tidak termasuk penswastaan perkhidmatan perbekalan air di Pulau Langkawi yang memerlukan Kerajaan Negeri Kedah membayar puluhan juta ringgit setahun kepada operator pengendali. Selain beberapa tahun mutakhir diluluskan RM222.3 juta untuk 'Jeniang Transfer' dan RM26.5 juta bagi mengatasi masalah air menerusi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Ketika sama pada Jun lalu Kedah memohon lagi RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan kononnya untuk mengatasi masalah air di Sik, Baling, Padang Terap, Kuala Muda dan Bandar Baharu. Dikhuatiri ia mengulangi perlakuan yang sama di mana syarikat kroni mendapat 'dedak', tapi 'ayaq tetap juga sat ada sat tak dak'.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
11 Julai 2016 | 6 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace