Sejarah: PAS atur strategi capai setengah juta ahli

HARAKAHDAILY | .

PAS ATUR STRATEGI CAPAI SETENGAH JUTA AHLI (11 JULAI 1992)

PADA hari ini dalam tahun 1992, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluluskan sebuah kertas cadangan untuk mengatur strategi bagi menambah keahlian PAS mencapai setengah juta orang menjelang tahun 1995. Kertas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan PAS sebagai pembangkang utama di negara ini sebelum Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka pada tahun 1995. Pada pertengahan tahun 1992, jumlah keahlian PAS telah mencapai 380,000 orang di seluruh negara.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 pada 2 Jun 1991, Presiden PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menyentuh masalah keahlian PAS yang perlu ditingkat untuk mengukuhkan kedudukan PAS, selain pengemaskinian sistem keahlian PAS. Ekoran itu, sepanjang tempoh antara Jun 1991 hingga Jun 1992, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat telah mengambil langkah pengukuhan tersebut. Pada 30 Jun 1991, sebuah kertas kerja bertajuk "Penyusunan dan Pengemaskinian Sistem Pendaftaran Keahlian PAS di Semua Peringkat" telah dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAS. Sasaran utama adalah untuk menambahkan seramai 180,000 ahli baru PAS sebelum 1995.

Bagi mengukuhkan sasaran ini, pada 11 Julai 1992, Ustaz Azizan Abdul Razak dalam kertas cadangannya, "Rancangan 4 Tahun Meningkatkan Bilangan Ahli PAS ke Angka 1/2 Juta 1992-1995" yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengemukakan beberapa strategi bertindak. Secara umum, menurut Ustaz Azizan Abdul Razak, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum 1990, jumlah penyokong dan pengundi PAS adalah tiga kali ganda daripada jumlah ahlinya. Ini bermakna PAS berpotensi menambahkan keahliannya hingga melebihi 750,000 orang, tetapi mengambil sasaran untuk mencapai keahlian 500,000 orang dalam tempoh empat tahun, atau pertembahan sebanyak 45,000 orang setahun. Jika PAS berjaya menambahkan jumlah keahlian hingga setengah juta orang, PAS diunjurkan akan mencapai peningkatan jumlah penyokong dan pengundinya sehingga mencecah sejuta orang.

Antara strategi yang digariskan ialah memberi fokus kepada keahlian isi rumah ahli PAS seperti isteri dan anak-anak, selain keluarga terdekat mereka. PAS turut mensasarkan kempen keahlian jangka panjang untuk pelajar institut pengajian tinggi, pengundi atas pagar dan kalangan terdekat dengan ahli-ahli PAS. Secara mudah, PAS dicadangkan supaya memastikan berlaku pertambahan seramai 24 orang dalam setiap daripada 2,957 buah Cawangan PAS di seluruh negara. PAS Pusat kemudiannya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Petugas untuk mencapaikan sasaran tersebut dengan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok.

Setelah empat tahun perlaksanaannya, PAS telah berjaya menambahkan keahliannya seramai 87,328 orang, iaitu sekitar 40 peratus daripada sasaran sebenar. Pertambahan ini berlaku sebanyak 21,132 orang pada 1992, 17,550 orang (1993), 21,547 orang (1994) dan 21,108 orang (1995). Antara faktor utama yang menyukarkan usaha menambah keahlian pada era ini menurut Laporan Tahunan PAS 1995 ialah kerana sekatan dan tekanan ke atas kebabasan politik. Kebanyakan rakyat lebih suka menjadi penyokong atau pengundi PAS berbanding menjadi ahli PAS untuk mengelakkan tindakan dan sekatan politik dikenakan ke atas mereka.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace