Kemalangan maut: Jangan panas-panas tahi ayam

HARAKAHDAILY | .

Apa hendak jadi dengan sikap pemandu di negara kita, terutama pemandu bas dan lori. Apa dah jadi dengan penguatkuasa jalan raya untuk mengawal keselamatan jalan raya. Petang semalam satu lagi kemalangan yang membabitkan bas persiaran yang merempuh 10 buah kenderaan di kilometer 265.8 Lebuh raya Utara Selatan berdekatan Terowong Menora. Jika dilihat dalam gambar yang dirakam amat mengerikan.

Saya rekodkan sebahagian daripada kemalangan ngeri yang berlaku di dalam negara kita. Pada 13 Ogos 2007 di Lebuhraya Utara Selatan dekat hentian Bukit Gantang kemalangan bas ekspres, 20 orang terbunuh, 10 cedera. Pada 12 Disember 2007, tujuh orang terbunuh membabitkan bas persiaran dekat Plaza Tol Jelapang. Pada November 2003 kemalangan bas ekspres di Jalan Kuala Lipis Merapoh Pahang 14 terkorban, 28 cedera. Pada 20 Ogos 2013  seramai 37 terkorban apabila bas jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter jalan Genting Highlands.

Ini hanya sebahagian daripada kemalangan maut yang membabitkan kenderaan awam.

Jangan hanya panas-panas tahi ayam setiap kali berlaku kemalangan ngeri. Selepas itu balik asal setelah sejuk. Panas pula apabila berlaku kemalangan. Menteri sibuk bercakap untuk tubuh jawatankuasa siasat, lepas itu apa yang disiasat pun tidak tahu. Pihak JPJ dan polis sibuk buat pemeriksaan, selepas itu senyap aja. Kemalangan terus berlaku, sikap pemandu kenderaan awam dan berat tidak berubah.

Kita menuntut supaya penguatkuasa dan pemantauan kepada bas dan lori kena diambil tindakan tegas. Gantung lesen, penjara, dan denda yang semaksimum. Kena wujud pasukan peronda untuk pantau gelagat lori dan bas yang tidak ada sivik. Kalau perlu ada kamera yang merakam gelagat pemandu yang tidak berhemah terus ambil tindakan.

Pihak JPJ dan polis kena menyamar sebagai penumpang untuk hendak tahu gelagat pemandu bas, terutama pada waktu malam. Cuba bayangkan perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Ipoh 2 jam 15 minit, Kuala Lumpur ke Alor Setar 5 jam setengah sahaja. Tidak hairanlah jika berlaku kemalangan boleh meragut banyak nyawa.

AES dan perangkap laju kena diletak di tempat bahaya seperti selepas terowong dan jalan merbahaya seperti jalan Kuala Lipis-Gua Musang. Barulah fungsinya untuk jaga keselamatan, bukan untuk pendapatan.

Kerajaan kena pastikan tahap umur bas dan penyelenggaraan yang sempurna. Jika perlu kerajaan kena menyediakan subsidi untuk selenggara bas demi nyawa rakyat.

Sila siasat pegawai PUSPAKOM yang meluluskan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. Sila ambil tindakan tegas jika ada unsur rasuah.

Mewajibkan mana-mana syarikat bas mempunyai pemandu yang cukup dan diberikan gaji yang minimum supaya mereka tidak sibuk untuk mengejar trip bagi mendapat pendapatan lebih sehingga mereka merasa penat dan merbahaya kepada penumpang.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
6 Syawal 1437 / 11 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace