Nilai semula langkah cegah kemalangan jalan raya

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAPIM kesal dan sangat sedih dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang terus menerus berlaku, apatahlagi pada musim sambutan hari perayaan.

Kemalangan yang melibatkan 7 ahli keluarga maut di jalan Gua Musang - Krai menjelang hari raya baru-baru ini dan seterusnya beberapa laporan pada hari ke-3 Hari Raya menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi.

Apakah ini satu kenyataan yang boleh diterima bulat-bulat? Ataukah masyarakat negara ini sudah tertanam rasa tidak peduli lagi soal kemalangan dan menerimanya sebagai fenomena yang harus diterima sebagai perkara biasa?

Kini dalam musim sambutan hari raya bermulalah episod menyedihkan apabila sepanjang sambutan Aidil Fitri akan terus dan berulang lagi laporan dari PDRM yang membawa berita sedih hampir setiap jam kes kemalangan jalan raya diseluruh pelosok negara. Dari kemalangan menyebabkan cedera sehingga kemalangan maut.

Sangat menyedihkan apabila ahli keluarga dan sanak saudara yang sepatutnya bergembira menziarahi antara satu sama lain pada hari raya, terpaksa berkunjung ke hospital pada hari sambutan hari raya untuk melawat saudara dan teman yang mengalami kemalangan di jalan raya.

Akan tetapi berita dan laporan kemalangan yang tersiar, betapa ngeri sekalipun, nampaknya tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya, malah sebaliknya insiden kemalangan jalan raya tetap meningkat. Adakah masyarakat sudah mangli (terbiasa) sehingga tidak lagi merasa apa-apa dengan berita kemalangan yang tersiar dalam media.

Angka kemalangan maut terus meningkat . Mengikut statistik yang dikeluarkan sekitar 7,000 orang maut di jalan raya , puluhan ribu yang cedera setiap tahun. Menjelang hari perayaan operasi PDRM dan JPJ atas berbagai nama terus diumumkan, akan tetapi kadar kemalangan jalan raya tidak menunjukkan angka akan menurun.

Mengikut Menteri Pengangkutan pada 2015 sahaja berlaku hampir 500,000 kes kemalangan jalan raya. Direkodkan 489,606 kemalangan jalan raya dan 6,706 maut pada  tahun tersebut. Angka ini ternyata meningkat berbanding 2014. Nilai kerugian ekonomi akibat kemalangan jalan raya meningkat sehingga melebihi RM8 bilion. Angka statistik ini nampaknya sangat mengejutkan, akan tetapi keadaan nampaknya terus berulang setiap tahun.

Setiap kali seorang pengguna berada di atas jalan raya sema ada jalan raya yang kecil dan sempit atau lebuh raya yang luas dan besar, pengguna di negara ini menghadapi risiko paling tinggi untuk bertembung dengan kemalangan.

Kenapakah masyarakat kita semakin menerima kemalangan di jalan raya sebagai ciri yang kekal di negara ini. Malah masyarakat pula sering menyerah kepada nasib. Tanggapan bahawa kemalangan jalan raya adalah taqdir yang tidak boleh diubah dan harus diterima begitu sahaja, adalah salah. Pada hakikatnya sikap suka menyerah kepada nasib bila kemalangan berlaku sebagai alasan sepatutnya samasekali tidak dapat diterima.

Pada hakikatnya kemalangan di jalan raya di negara ini menjadi fenomena yang berpunca dari banyak faktor yang sepatutnya boleh ditangani melalui polisi kerajaan sekaligus sikap pengguna jalan raya. Kami berpendapat tiga faktor iaitu bilangan kenderaan, keadaan jalan raya dan sikap pengguna jalanraya menjadi faktor paling besar menyumbang kepada kemalangan.

Pelan advokasi oleh Jabatan Keselamatan Jalanraya dikatakan telah disemak semula bersama semakan semula Pelan Keselamatan Jalanraya Malaysia  2014-2020. Malah modul pendidikan keselamatan jalanraya juga telah dibentang.

Ditambah lagi sebuah Pasukan Petugas Khas tepaksa diwujudkan diperingkat Menteri Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Cadangan melaksanakan Sistem Keselamatan Otomatik (Automated Awareness Safety System) atau Awas serta Sistem Demerit Poin Kejara  (Kejara Demerit Points System) adalah antara langkah yang diumumkan.

Pihak awam juga mendengar perlaksanaan Program Assesmen Keselamatan Jalanraya Antarabangsa  (Irap) di Malaysia .

Soalnya ramai yang masih skeptikal semua langkah itu boleh mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Kami berpendapat selagi bilangan kenderaan, terutama kenderaan persendirian bertambah, selagi itu risiko kemalangan jalan raya akan ujud.

Tidak boleh dinafikan bahawa keghairahan para perancang  industri kereta mahu melihat negara ini dipenuhi dengan kenderaan dan ini menjadi suatu sasaran. Nisbah pemilikkkan kereta per kapita di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Dengan yang demikian pembinaan jalan raya yang bersimpang siur (dari jalan kampung, daerah, bandar, persekutuan sehingga lebuh raya) dibina untuk memenuhi keperluan kenderaan yang bertambah.

Bilangan kenderaan yang terlalu banyak tidak dilihat sebagai faktor yang sepatutnya difikirkan semula. Kenderaan persendirian yang terlalu banyak akibat sistem pengangkutan awam yang masih belum direncana dengan baik menyebabkan jalan raya dipenuhi dengan kenderaan.

Ditambah pula dengan kenderaan persendirian yang dipacu di tas jalan raya oleh pengguna di negara ini yang semakin dikenali sebagai negara yang terkenal dengan pemandu berani mati, terutama pemandu motosikal. Akibatnya gejala kemalangan hampir tidak boleh dielakkan lagi.

Kenderaan berat juga semakin meningkat dan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori juga kerap berlaku. Bermakna sistem pemantauan keselamatan kenderaan berat maseh tidak berkesan di negara ini.

Kami berpendapat sudah sampai masanya kerajaan serius melihat semula keadaan bilangan kenderaan yang terlalu tinggi dijalan raya dan mencari jalan meningkatkan sistem pengangkutan awam sebagai alternatif.

Sementara itu sikap berhati-hati pengguna jalan raya yang masih ditahap rendah perlu ditangani dengan cara lebih ketat. Tahap umur untuk lulus lesen memandu hendaklah ditingkatkan.

Had pengguna motorsikal yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya paling tinggi perlu disemak semula. Perlu difikirkan semula keselamatan motorsikal sebagai kenderaaan yang patut dibenarkan kerana ia menjadi punca kemalangan yang tertinggi di negara ini. - HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace