Fitnah Ustaz Azizan, PAS buat laporan polis

HARAKAHDAILY | .

BUTIRAN petikan komen oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Nahar Tajri di akaun facebook milik beliau ke atas bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak adalah fitnah.

Fitnah tersebut dilihat cuba memberi persepsi buruk, tidak benar dan jahat terhadap Almarhum yang telah menunjukkan rekod bersih dan cemerlang sepanjang beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Lemparan fitnah itu boleh menjejaskan maruah, reputasi dan integriti serta mendatangkan aib kepada Almarhum, juga secara tidak langsung menghadirkan imej negatif terhadap institusi dan parti pernah diwakilinya.

Almarhum pernah juga memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai serta Adun Sungai Limau.

Malah, tuduhan ke atas individu yang telah meninggal dunia boleh menyebabkan tekanan, kesedihan dan menyinggungkan keluarganya.

Antara fitnah disebarkan itu adalah menuduh Almarhum menerima elaun selaku Pengerusi SADA sebanyak RM20,000 sebulan yang nyata amat melampau, sedangkan polisi syarikat itu tidak membuat peruntukan sedemikian ketika zaman pentadbirannya.

Sehubungan itu, kami membuat laporan polis terhadap penyebaran fitnah tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang susulan diambil terhadap individu dan pihak terbabit.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah - HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace