Syariah tak mahu, tetapi qazaf mahu?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SANGAT jelek pihak yang berhabisan menuntut perlaksanaan syariah Islam ditangguhkan, tiba-tiba merayu mahukan hukum qazaf dilaksanakan.

Dahulu mereka beralasan dengan kondusiviti, masyarakat majmuk, masalah ekonomi dan aulawiyat, tetapi apabila KetUm mereka berhadapan masalah, tiada jalan lain mereka boleh harapkan selain Qazaf yang menjadi salah satu rangkaian hudud dalam kanun jenayah syariah Islam.

Sebenarnya hati kecil mereka akui tiada sistem terbaik melainkan kembali kepada Islam. Namun entah kenapa lidah dan sikap mereka begitu alergik terhadap usaha memartabatkan syariah Islam. Mungkinkah kerana sokongan, atau takut diugut rakan, atau risaukah kisah silam akan kembali diheret ke pengadilan?

Samalah seperti seorang yang tidak mengaku wujudnya tuhan. Dalam keadaan biasa berbagai hujah dikemukakan bagi membuktikan palsunya kepercayaan bertuhan.

Tetapi apabila berada keseorangan di tengah lautan dalam, dilanda badai deras dan ribut kencang, hanya berpaut pada serpihan kapal yang sudah karam, tiada daya untuk ikhtiar, tiada manusia lain untuk berharap, pasti saat itu hatinya akan meletak pergantungan pada satu kuasa yang mampu menyelamatkannya. Mereka tak mampu menipu hati, bahawa fitrah mereka tetap percayakan tuhan!

Teringat kisah Vladimir Lenin, pemimpin Soviet Union yang komunis lagi atheis. Dia langsung tidak mempercayai wujudnya tuhan. Namun ditakdirkan suatu ketika beliau jatuh sakit. Berbagai ubat dicuba, berbagai doktor dipanggil namun sakitnya masih tidak sembuh. Akhirnya beliau memanggil Ulama Islam, paderi Kristian, pendita Yahudi, sami Budhha, Hindu dan segala pengamal agama yang ada untuk mendoakannya.

Apabila ditanya, "Kenapa menyuruh mereka berdoa pada tuhan. Bukankah kamu tidak percaya adanya tuhan?" Jawab Lenin ringkas, "kerana aku terlalu sakit...."

Walau bagaimanapun setelah sembuh, beliau masih sebagai komunis dan atheis. Tetap sombong dan ego untuk mengakui Tuhan Maha Sakti.

Dia warisi perangai iblis yang sombong dan ego untuk menurut perintah tuhan walaupun tahu benarnya tuhan. Iblis sanggup terima neraka dan laknat tuhan daripada mengorbankan ego untuk sujud keada Adam.

Tatkala iblis dan syaitannya menghasut manusia, mereka bawa sesesat-sesatnya. Tetapi apabila berjaya menyesatkan manusia hingga ke lembah kufur, mereka lari lalu berkata:

" إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ"

Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu. Sesungguhnya aku takutkan Allah tuhan semesta alam.
[Al-Hasyr:16] – HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace