Akhbar: Ruang agama ada, keputusan judi siar juga

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendesak pihak berkuasa agama mengharamkan semua akhbar berbahasa Melayu dari menyiarkan keputusan 4 Nombor Ekor, keputusan Sports Toto serta Jackpot yang diiklan oleh Sports Toto Malaysia Sdn Bhd.

"Kami melihat ada akhbar berbahasa Melayu yang juga menyiarkan ruang agama tetapi dalam masa yang sama menyiarkan iklan keputusan judi," ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Ini, katanya bukan sahaja suatu penghinaan terhadap agama malah bermain-main dengan hukum syarak yang jelas mengharamkan judi dalam apa sahaja bentuknya.

"Kami tidak faham kenapa ada kumpulan editor akhbar berbahasa Melayu sanggup hanya mementingkan keuntungan tanpa mengendahkan hukum agama yang jauh lebih utama.

"Apakah tidak ada pegawai agama akhbar tersebut yang boleh menasihati hal demikian kepada ketua editor agar hal ini tidak sepatutnya diluluskan?" kata beliau.

Menurutnya, amalan menyiarkan iklan keputusan judi ini telah lama disiarkan dalam akhbar Melayu yang tertentu, malangnya tidak ditegur oleh pihak berwajib.

Akibatnya, kata beliau pihak pemilik akhbar tersebut merasa tidak bersalah untuk mengiklankan kegiatan perjudian kerana ia adalah sebuah perjudian berlesen.

"Kami menggesa pihak berwajip terutamanya pihak berkuasa agama hendaklah bertegas kerana akbar berbahasa Melayu sepatutnya membawa ciri-ciri yang tidak bertentangan dengan budaya dan hukum agama di kalangan masyarakat orang Melayu," ujarnya lagi.

Menurutnya, membiarkan hal itu tanpa sekatan akan mengabsahkan industri judi yang didukung sendiri oleh akhbar berbahasa Melayu sendiri.

Ini, ujar beliau akan membawa kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dari satu segi, katanya akhbar Melayu sering dilihat menyebar mesej agama dalam kolum, tulisan serta laporannya akan tetapi dari satu segi yang lain, ia juga menyiarkan iklan perjudiaan yang dibayar oleh syarikat judi dalam negara ini.

"Amalan ini sama sekali tidak boleh diterima," tegasnya.

Ini, kata beliau bukan soal syarikat berkenaan adalah syarikat yang berlesen dan dibenarkan oleh undang-undang negara, akan tetapi adalah soal hukum agama yang tidak boleh dipandang remeh.

"Kami mendesak pihak berkuasa agama segera mengeluarkan arahan ini kepada semua akhbar berbahasa Melayu supaya ia tidak menjadi fitnah dan disalahfahami oleh masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam," katanya. - HARAKAHDAILY 12/7/2016

Share on Myspace