Bekalan air: Laporan TV3 tidak tepat

ASLANI M | .

MACHANG: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang membina telaga tiub di Kampung Kuala Nal bagi membolehkan air dibekalkan ke Taman Sri Pauh, Temangan.

Bekalan air tersebut disalur melalui Kuala Hau sebagai perancangan jangka pendek AKSB. Usaha tersebut berjaya meningkatkan  bekalan air kepada 90 meter padu (m3) sehari berbanding 30 m3 sebelum ini.

Manakala bagi perancagan jangka panjang AKSB Machang merancang membina tangki di belakang Shell Bandar Machang yang dijangka dapat digunakan sepenuhnya akhir tahun ini.

Tangki berkenaan akan mendapat sumber air dari Loji Rawatan Air di Merbau Chondong. Apabila siap sepenuhnya projek terbabit masalah bekalan air dihadapi pengguna di Taman Sri Pauh diijangka dapat diselesaikan.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Machang, Razuan Awang Hamad berkata dakwaan TV3 yang menyebut bekalan air ke Taman Sri Pauh hanya dibekalkan AKSB pada akhir Ramadan tidak tepat.

Katanya, AKSB Machang menghantar air ke dalam tangki statik yang disediakan di Taman Sri Pauh semenjak tiga bulan lepas dengan menyediakan dua tangki besar secara statik.

“AKSB Machang mengambil tindakan sewajarnya untuk tempoh sementara dengan menyediakan tangki statik berkapasiti 1,800 gelen sebanyak 2 unit di Taman Sri Pauh.

“Jadual normal sebelum Ramadan AKSB Machang menghantar bekalan air dengan kekerapan dua kali seminggu iaitu setiap Ahad dan Khamis ke taman berkenaan,” katanya.

Pengguna di Taman Sri Pauh menghadapi masalah bekalan air disebabkan keadaan geografi yang berbukit.

Air hanya keluar pada tengah malam sehingga awal pagi sahaja kerana tekanannya rendah. Manakala pada Ramadan dan Syawal AKSB menghantar air ke dalam tangki berkenaan dengan kekerapan selang sehari.

Razuan juga berkata AKSB akan hantar terus bekalan ke rumah penduduk yang mengadakan kenduri. - HARAKAHDAILY 12/7/2016

Share on Myspace