Isu di sebalik kemelut bekalan air di Kedah

IZWAN ABDUL HALIM | .

MASALAH perkhidmatan bekalan air terawat di negara ini bukan satu isu baharu. Lebih 50 tahun Umno-BN memerintah, mereka gagal menanganinya. Kelemahan kerajaan negeri menguruskan perkhidmatan ini menyebabkan Kerajaan Persekutuan bertindak menstrukturkan semula industri bekalan air pada tahun 2003.

Jika selama ini urusannya di bawah bidang kuasa negeri, tetapi pada Januari 2005 telah dipinda Perlembagaan Persekutuan menjadikannya sebagai Senarai Bersama (Negeri dan Pusat).
 
Pindaan itu diselaraskan pula dengan kelulusan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 665) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Akta 654) pada tahun 2006 diikuti penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) setahun selepas itu.

Sekaligus, Kerajaan Persekutuan mempunyai hak eksekutif berkaitan ke atas seluruh Semenanjung dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Pindaan baharu itu wajib diikuti negeri dengan menggubal enakmen baharu atau meminda enakmen sedia ada.

Kewujudan SADA
 
Ketika pentadbiran Pakatan Rakyat yang diketuai PAS mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, kemampuan perkhidmatan bekalan air bersih masih jauh dari memenuhi keperluan rakyat negeri itu. Maka Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memberi fokus meningkatkan kemampuan tersebut.
 
Selaras akta dan enakmen baharu, beliau telah mengkorporatkan pengurusan berkaitan sekali gus Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK) dikenali sebagai Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Pengkorporatan pengurusan bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatannya tanpa perlu melalui birokrasi yang banyak dan panjang. Tetapi ia masih di bawah tanggung jawab kerajaan negeri yang akan memastikan kepentingan rakyat diutamakan.
 
Ia sama sekali berbeza dengan penswastaan yang lebih berobjektifkan keuntungan semata-mata sebagaimana menjadi kebiasaan dasar Kerajaan BN. Walaupun SADA juga mesti mencatat keuntungan agar kepentingannya tidak diambilalih SPAN sebagaimana terma undang-undang termaktub, namun ia tetap kekal sebagai perkhidmatan kerajaan.

Kerajaan Lena dan Lembab
 
Tiga hari sebelum Aidilfitri 1437, gegak gempita isu air di Kedah dan ia terus berlarutan sehingga artikel ini ditulis. Sama ada bekalan air tiada langsung, atau tersangat perlahan dan perlu ditadah, atau terlalu keruh. Kepimpinan kerajaan negeri pula dilihat gagal bertindak untuk melakukan penyelesaian segera dan mengaktifkan pelan kontingensi. Rungutan rakyat dicerap berlaku di seluruh kawasan negeri kecuali Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sekadar membebel kepada SADA dan exco yang memegang portfolio berkaitan air iaitu Datuk Badrol Hisham Hashim sekadar mengugut untuk mengambil tindakan tatatertib kepada kakitangan SADA.

Kemarahan rakyat terus memuncak hingga ada mengugut mengheret isu ke istana. Sambutan Aidilfitri, majlis kenduri, pengurusan jenazah, kerja-kerja membasuh, mandi hingga keperluan minuman tidak dapat dipenuhi.
 
Rakyat hampa menanti tindakan padu, tetapi Ahmad Bashah sekadar sambil lewa menjawab akan membuat kajian penggunaan, mencadangkan sumber air bawah tanah dan hanya akan mengadakan mesyuarat pada 7 Syawal.

Kemampuan Bekalan Air
 
Kedah sebenarnya langsung tidak mempunyai masalah bekalan air mentah. Ia bukan sahaja mempunyai banyak kawasan tadahan air, malah simpanannya bertahan biarpun pernah menghadapi pelbagai ujian alam. Kedah mempunyai empat empangan utama di samping empangan kecil, 33 loji rawatan dan beratus rumah pam. Malah, air dari Kedah berlebihan hingga boleh disalurkan untuk kegunaan lima juta pengguna di Pulau Pinang dan Perlis.
 
Daripada hampir 500 juta meter padu air dirawat setahun, penggunaan keseluruhan tidak sampai pun separuh. Bermakna, Kedah mempunyai bekalan air mentah dan air bersih terawat yang sangat-sangat banyak.
 
Oleh itu, bagaimana mungkin Kedah boleh mengalami masalah air? Kepulangan ramai anak perantauan sempena Aidilfitri sememangnya menyumbang kepada peningkatan penggunaan air. Tetapi masalah air di Kedah bukan baharu, rakyat mendepaninya saban hari dan semakin ketara pada cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di beberapa kawasan termasuk ibu negeri, Alor Setar.
 
Puncanya kerana kerajaan negeri lengah, tidak sensitif, lalai melihat keutamaan, lemah membuat unjuran masa depan, terbuai dengan angan-angan, sibuk dengan persengketaan politik dan perebutan jawatan sesama mereka.

Rekod Mencurigakan
 
Kedah paling banyak menerima peruntukan dan pembiayaan berkaitan bekalan air dari Kerajaan Persekutuan meliputi untuk tujuan kegunaan awam, industri dan komersil serta pertanian. Pernah didedahkan bahawa terdapat pemberian itu layak diperolehi dalam bentuk peruntukan geran bagi melaksanakan projek berkaitan air. Tetapi pemimpin BN yang mentadbir Kedah ketika itu mahukan dalam bentuk pinjaman sebagaimana Empangan Ahning melibatkan RM48 juta.
 
Penggunaan peruntukan geran bermakna projek mesti dijalankan mengikut spesifikasi ditetapkan Kerajaan Persekutuan. Berbeza pinjaman, terpulang bebas kepada kerajaan negeri menentukannya. Seperti lazimnya, didapati pihak kontraktor yang menjalankan projek di bawah pinjaman itu ada kaitannya dengan pemimpin Umno-BN.
 
Terdapat juga projek dijalankan dengan kos meragukan misalnya loji di Padang Sanai yang dinilai dengan kos RM50 juta, tetapi memakan kos RM155 juta. Begitu juga loji di Lubuk Buntar memadai kos RM25 juta tetapi telah menggunakan peruntukan RM65 juta.

Sedang Makan ‘Dedak’?
 
Sejak awal tahun 1990-an hingga kini direkodkan hutang paling banyak negeri Kedah kepada Pusat adalah berkaitan air, iaitu mencecah RM1.9 bilion daripada hampir RM2.4 bilion keseluruhan hutang. Malangnya, dengan jumlah sebesar itu Kedah masih gagal menyediakan perkhidmatan bekalan air sebaiknya kepada rakyat.
 
Mutakhir ini, kerajaan negeri pimpinan BN berusaha mendapatkan lagi peruntukan dan pembiayaan pinjaman dari Pusat untuk tujuan berkaitan bekalan air. Terbaru pada pertengahan Jun lalu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah bertemu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon RM250 juta untuk mengatasi masalah air di lima daerah.
 
Terdahulu Ismail memaklumkan telah menyerah peruntukan khas RM26.5 juta untuk menangani isu tersebut, selain RM148.5 juta menerusi program Transformasi Luar Bandar. Malah, pada November 2013, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob memberitahu Sidang Dun Kedah bahawa RM222.3 juta digunakan untuk ‘Jeniang Transfer’ yang membekalkan air termasuk hingga ke Pendang dan Kota Sarang Semut.

Kerajaan Lemah, Abaikan Rakyat
 
Pada zaman Ustaz Azizan, daripada 12,000 kilometer paip besar dan paip servis, telah mengenalpasti 40 peratus paip yang perlu digantikan semula kerana usang. BN meninggalkan beban baik pulih melampau kepadanya di sebalik hutang tinggi yang mereka tinggalkan. Namun, jiwa kentalnya untuk kepentingan rakyat dan disokong tenaga kerja SADA, banyak masalah dapat diselesaikan.
 
Selain dapat membekalkan air kepada penduduk yang tidak pernah menerima air paip bersih terawat sejak merdeka, SADA juga berusaha meminimakan kerugian kerajaan disebabkan kehilangan hampir 50 peratus daripada bekalan air yang disalurkan. Ia berpunca dari kemampuan aset air yang dibina selain paip terlalu uzur, kebocoran, kecurian dan proses pengewapan.
 
SADA terus bersungguh melangsungkan perkhidmatan terbaiknya untuk rakyat negeri Kedah. Malah terbukti berjaya apabila mencatat keuntungan yang memberangsangkan hingga dapat membina menara sendiri. Malangnya, di bawah pentadbiran BN, ia digunakan seperti syarikat swasta apabila keuntungan dijananya digunakan untuk menaja pelbagai program lain.
 
Hakikatnya Kedah sudah memiliki dan sepatutnya mempunyai kemampuan sangat lengkap untuk perkhidmatan bekalan air bersih terawat. Tetapi begitulah cara BN mentadbir yang tidak terkecuali dari memenuhi kepentingan diri dan parti mereka.

Slogan “BN Menang, Kedah Senang” hanyalah gula-gula mengabui mata rakyat. Kini ternyata kerajaan diketuai Bashah terlalu lemah, hingga hilang punca untuk menetapkan gerakan sistem penyampaian di sebalik ‘kemewahan’ sumber dan kewangan air yang ada di Kedah. – HARAKAHDAILY 12/7/2016

Share on Myspace