Kutipan tol di LPT2: Rakyat terus dihimpit

HARAKAHDAILY | .

PAS Terengganu kesal dan dukacita atas keputusan kerajaan mahu melaksanakan kutipan tol di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula jam 00.01 pagi 15 Julai ini.

Kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan semula kos pembinaan yang telah menggunakan kewangan negeri sebanyak RM1.8 bilion terlebih dahulu, sebelum bersetuju dengan kerajaan pusat untuk sebarang kutipan tol pada LPT2 atau sudah ada perjanjian konsesi yang sebahagian kutipan tol tersebut akan dibahagikan juga untuk negeri Terengganu?

Dalam suasana bajet negeri Terengganu yang kini tinggal RM1.4billion setelah dipotong RM630 juta daripada bajet 2016 sebanyak RM2.1 billion. Pengembalian wang RM1.8 billion itu cukup besar jumlahnya untuk dimanfaatkan dengan memberikan kemudahan perbelanjaan kepada rakyat, terutamanya kepada sektor pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

Kegagalan kerajaan negeri mendapatkan kembali wang tersebut merupakan satu kerugian dan pengkhianatan kepada amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Bahkan pelaksanaan kutipan tol kepada pengguna di kalangan rakyat negeri Terengganu yang membiayai pembinaan LPT2, merupakan 'penderaan' yang bakal menambahkan beban kewangan kepada setiap keluarga.

Dengan kadar 12 sen sekilometer bagi setiap kenderaan yang melalui LPT2 dari Gemuruh ke Cheneh akan meningkatkan kos perjalanan ke Kuala Lumpur sekitar 70 peratus.

Rantaian peningkatan kos pengangkutan akan meninggalkan kesan beban berganda kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Kenaikan harga minyak pada awal Julai lalu akan menambahkan lagi beban kewangan yang sedia ada kepada warga Terengganu.

Pelaksanaan kutipan tol LPT2 yang digelar sebagai 'Lebuh Raya Maut' sewajarnya tidak dikuatkuasakan dan ditangguh sehingga segala kemudahan dilengkapkan serta lebuh raya tersebut diperelokkan.

Keadaan permukaan jalan yang menjadi rungutan ramai, ketidakcukupan papan tanda dan tunjuk arah keselamatan, ketiadaan stesen minyak kekal, kompleks henti-henti 'Rehat dan Rawat' yang tidak sempurna, perlu diberi pertimbangan sebelum kerajaan memikirkan 'keuntungan dan laba' yang diseluk daripada saku rakyat!

Kenapa lebuh raya di Sarawak dikecualikan tol? Tetapi LPT2 mahu dikenakan tol? Kenapa Pantai timur selalu dianaktirikan?

Sekarang baru rakyat tahu makna “BN Menang, Rakyat Senang” yang menjadi slogan kerajaan Umno BN.

USTAZ SATIFUL BAHRI MAMAT
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
7 Syawal 1437H / 12 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 12/7/2016

Share on Myspace