Kutip tol, apa rakyat Terengganu dapat?

HARAKAHDAILY | .

LPT 2 bermula dengan kos pembinaan yang sentiasa naik kerana bermasalah dengan kontraktor yang dipilih. Ada yang lari, ada yang tak ikut spesifikasi yang menyebabkan pembinaan LPT 2 ini tertangguh jadualnya dan bertambah kosnya.

Namun, sehingga kini, tiada kedengaran tindakan ke atas kontraktor terbabit. Sehingga akhirnya jumlah sebenar seperti yang direkodkan ialah kira-kira RM4 billion wang rakyat telah digunakan bagi membina lebuhraya sepanjang 184km yang beralun di kebanyakan tempat, mempunyai kira-kira 2000 kes kemalangan serta telah mengorbankan kira-kira 100 orang mangsa itu pada tahun 2015 sahaja. Kenaikan kos ini adalah sekali ganda dengan kos asal LPT 2.

Sebanyak RM1.8 billion wang rakyat negeri Terengganu telah “dibenamkan” di LPT 2 ini bagi membantu menyiapkan pembinaannya.

Alasan yang diberikan bagi menaikkan tol antaranya ialah bagi menampung kos penyelenggaraan. Persoalan yang timbul, berapakah kos penyelenggaraan bagi LPT 2 itu? Sedangkan kerosakan yang terjadi di LPT 2 sekarang, antaranya adalah kerana kesilapan atau kecuaian kontraktor ketika pembinaan dahulu.

Wang rakyat diambil untuk membaiki kesilapan itu, kos menjadi semakin naik, diambil lagi duit rakyat Terengganu untuk menampung kosnya. Kini, rakyat Terengganu, bakal melakukan “jihad” di lebuh raya dengan membayar tol kepada syarikat konsensi atas nama penyelenggaraan.

Berapakah jangkaan pendapatan bulanan bagi kutipan di LPT 2 nanti kerana bancian kenderaan, pastinya telah dibuat, berapa lamakah kutipan ini akan berjalan dan apakah keistimewaan atau sesuatu yang baik yang bakal diperolehi oleh rakyat Terengganu? Wang RM1.8 billion ini adalah maruah rakyat Terengganu.

Tidak pernah terjadi sebelum ini, kerajaan negeri membiayai hampir separuh kos pembinaan lebuh raya di mana-mana negeri di Malaysia, tetapi tidak mendapat apa-apa, hanya terjadi di bawah pemerintahan Umno Terengganu.

PAS Terengganu mencadangkan agar kutipan tol secara telus diumumkan dan hasilnya dibahagi antara syarikat konsesi dengan kerajaan negeri bagi memberikan kembali pulangan itu untuk kepentingan rakyat Terengganu.

PAS juga berpendapat oleh sebab wang rakyat Terengganu telah digunakan secara paksa, maka kerajaan negeri semestinya mendesak agar GLC Terengganu turut mempunyai saham atau pegangan dalam syarikat konsesi tersebut.

Bukan sekadar "sleeping partner" tetapi agar diberikan hak dan jaminan kepada pengurusan kewangan rakyat Terengganu yang ada di dalamnya. Tuntutan ini jelas sangat berpatutan kerana kerajaan negeri telah membelanjakan jutaan duit rakyat bagi pengambilan tanah, membinanya, tetapi akhirnya tol dikutip konsesi.

Ketegasan kerajaan pasti boleh membuka jalan bagi rakyat Terengganu menikmati kembali wang mereka yang dipinjam secara tidak benar itu.

Memandangankan lebuh raya Pan-Borneo tidak dikenakan sebarang tol, maka PAS yakin, ini juga adalah salah satu langkah keluar yang baik sebagai pulangan kepada rakyat negeri Terengganu selain daripada cadangan membahagikan keuntungan kutipan tol diantara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi di atas.

Oleh itu, PAS Terengganu mendesak agar kerajaan negeri menjelaskan dahulu persoalan-persoalan yang kami kemukakan sebelum meneruskan cadangan yang bakal memeras wang rakyat Terengganu ini, bukan sahaja melalui tol, tetapi juga melalui kenaikan harga barang yang bakal naik lagi kesan kerana tol ini, sesudah kenaikan minyak baru-baru ini.

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
7 Syawal 1437 / 12 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 12/7/2016

Share on Myspace