Keselamatan awam di negara ini meruncing

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Laporan akhbar Sinar Harian baru-baru ini mengenai meningkatnya permintaan perkhidmatan keselamatan di negara ini kerana kadar jenayah semakin tinggi seharusnya dipandang serius oleh pihak kerajaan.

Di dalam laporan itu kenyataan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Seri Mustapa Ali, menjelaskan organisasi yang menawarkan perkhidmatan keselamatan terpaksa melatih mereka yang bukan dari latar belakang tentera atau polis untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

Kami berpendapat ini adalah petanda yang tidak baik untuk negara kerana kecenderungan melakukan jenayah nampaknya semakin berleluasa kerana dikatakan negara menuju kepada negara maju dan kaya.

Soalnya adakah gejala ini boleh diterima sebagai fenomena biasa kerana negara menuju kepada negara maju dan kaya? Jika alasan ini kita terima dan jenayah sebagai sesuatu yang normal, maka ada yang tidak kena dengan kefahaman kita dalam konsep kita membangun dengan acuan kita sendiri seperti yang terungkap dalam Wawasan 2020.

Kami berpendapat tren jenayah yang meningkat sepatutnya ditangani secara serius oleh semua pihak terutama pihak kerajaan, bukan menerimanya sebagai suatu ciri pembangunan yang tidak boleh dielakkan.

Punca dan faktor apa yang menyebabkan gejala jenayah di negara ini meningkat hendaklah diteliti, bukan menerima penyelesaian dengan kaedah meningkatkan perkhidmatan keselamatan yang ditawarkan oleh pihak swasta.

Pihak kerajaan perlu meneliti tren ini sebagai tren yang merisaukan. Keselamatan awam adalah antara aspek kualiti kehidupan masyarakat yang perlu diurus dengan baik. Jika wujud jurang kaya miskin yang melampau dan dengan itu jenayah ugut, rompak dan bunuh menjadi-jadi, bermakna pihak kerajaan perlu menyemak sistem pembangunan sosioekonomi yang sedang diamalkan sekarang.

Fenomena meningkatnya syarikat perkhidmatan keselamatan bukan suatu kelegaan. Malah ia harus dilihat sebagai petanda sekuriti awam negara dalam keadaan rapuh. Begitu juga ia adalah alamat nilai hidup masyarakat dalam negara ini yang telah rosak.

Keselamatan awam perlu dilihat sebagai ciri penting dalam melahirkan negara yang mempunyai ketahanan awam yang kukuh. Jika menyelesaikan isu ini adalah dengan menyuburkan perkhidmatan keselamatan daripada swasta, dikhuatiri isu ini tidak akan berakhir malah akan semakin bertambah dan semakin rumit.

Kerajaan tidak boleh terlalu gahirah mengguna kaedah penyelesaian melalui inisiatif swasta yang akan lebih mengutamakan keuntungan dari mencari punca masalah.

Soalnya kenapa kadar jenayah meningkat? Apakah punca ia menjadi tren yang berleluasa?

Jika diteliti, negara juga sedang dihadapi gejala gangsterism dari peringkat sekolah lagi, yang pasti akan merebak kepada penglibatan didalam kelompok kongsi gelap dan akhirnya terkait dengan jenayah berat. Bermakna mencari punca kepada isu kadar jenayah yang meningkat juga ada kaitan dengan sistem pendidikan negara sema ada pendidikan formal mahupun pendidikan bukan formal.

Oleh kerana itu kami berpendapat, jika pihak kerajaan tidak melihat isu ini dengan serius, negara ini bakal berdepan dengan keadaan di mana golongan penjenayah menakluki pengurusan keselamatan masyarakat.

Untuk masa ini sahaja, kewujudan pelbagai kumpulan gangster, kongsi gelap dan operasi ala mafia di dalam negara ini sudah cukup merunsingkan, apatah lagi jika ia dibiar berkembang kepada jenayah berat yang tidak terkawal. - HARAKAHDAILY 12/7/2016

Penulis ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu.

Share on Myspace