Etika parti politik, ROS disaran buat pindaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyarankan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membuat pindaan agar semua parti politik yang berdaftar mematuhi lima syarat antaranya tidak boleh membuat kenyataan yang menyinggung kaum lain di Malaysia.

Selain itu, menurut Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman empat syarat lagi iaitu tidak boleh berpolitik dengan memburukan institusi Raja-raja Melayu, tidak boleh membuat kenyataan yang berunsur hasutan serta menimbulkan suasana yang tidak harmoni, membuat kenyataan memburukkan kepimpinan kerajaan di dalam atau luar negara melalui laman sosial dan menghormati semua agama di Malaysia termasuk kebudayaan serta adat resam mereka.

Tambahnya, ROS berhak menggantung sementara parti politik atau membatalkan terus pendaftarannya jika syarat ini dilanggar oleh mana-mana parti politik.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming berhubung beberapa isu di laman Facebook yang jelas membuktikan tiada semangat bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

"Tindakan tersebut juga menimbulkan suasana yang tidak harmoni antara kaum. Beliau tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian. Beliau yang merupakan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat sepatutnya menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan dan bukannya menulis kritikan biadap terhadap orang Melayu, lebih-lebih lagi dalam suasana menyambut aidilfitri," katanya kepada Harakahdaily.

Ikatan juga menggesa Nga Kor Ming membuat pengakuaan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

"Jika beliau merasakan perbuatan tersebut dilakukan oleh pihak lain dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi beliau, Nga Kor Ming sepatutnya membuat laporan polis dengan segera dan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Ikatan Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/7/2016

Share on Myspace