Masalah air Kedah: Bashah lewat tiga bulan

HARAKAHDAILY | .

PELAN tindakan strategik digariskan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta data penyaluran air kepada penduduk terjejas yang dikeluarkan semalam membuktikan masalah bekalan air bersih di Kedah berada pada tahap membimbangkan.

Masalah ini terjadi manifestasi daripada ketirisan, penyelewengan, kegagalan, kecuaian, alpa dan sambil lewa pentadbiran Kerajaan BN terhadap kepentingan rakyat.

Ini dapat dilihat dalam semua kejayaan yang dibanggakan pada 100 hari pentadbiran Bashah, tidak ada satu pun perhatian kepada hal ehwal berkaitan masalah air. Sewajibnya masalah air ini menjadi keutamaan beliau dalam tempoh tersebut setelah mengangkat sumpah MB pada 4 Februari lalu.

Apatah lagi masalah bekalan air bersih ini adalah isu sejak sekian lama, bahkan Bashah turut pernah menjadi Exco dalam pentadbiran yang lalu. Malah, ia termasuk dalam senarai keselamatan yang sangat perlu diberi perhatian serius. Jelas menunjukkan tiada kepedulian sewajarnya dalam menangani perkara ini. Sebaliknya dilihat lebih sibuk dengan isu dalaman politik Umno.

Begitu juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim selaku exco yang memegang portfolio berkaitan bekalan air sejak dari pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sepatutnya mendepani dan mengutarakan masalah berkaitan kepada MB.

Tetapi beliau ternyata dilihat terlalu lemah untuk menggerakkan peranan. Dengan itu beliau seharusnya meletakkan jawatan serta-merta.

Pentadbiran Ahmad Bashah juga gagal menjadi pendengar dan mencerap masalah dengan baik biarpun setelah pihak Adun PAS mengemukakan usul tergempar berkenaan masalah air ini pada Sidang Dun April lalu.

Malang sekali apabila mesyuarat yang sepatutnya diadakan Februari lalu setelah beliau 'menumbangkan' Mukhriz, atau selewat-lewatnya selepas diluluskan usul tergempar Sidang Dun, hanya diadakan semalam.

Malah, janji pernah dilafazkan MB untuk mengambil tindakan segera sebelum Aidilfitri hanya tinggal janji dan berlarutan merosakkan kegembiraan dan kemeriahan Syawal, sedangkan mesyuarat semalam berlaku lewat tiga bulan dan setelah anak perantau pulang ke destinasi perantauan masing-masing.

Rakyat pula bukan sahaja mendapat kesusahan menjalani rutin kehidupan harian, tetapi rantaian beban bersangkutan terpaksa ditanggung membaik pulih sendiri saluran paip dan membeli pam yang tentunya melibatkan kos besar termasuk elektrik.

Sekiranya masalah yang diangkakan Bashah sebagai kecil ini pun gagal ditangani, bagaimana mungkin sekiranya Kedah menghadapinya pada skala besar? PAS Kedah khuatir semua tindakan digariskan itu bakal menjadi projek yang menjana pendapatan poket pemimpin BN sepertimana nasib peruntukan dan pembiayaan sebelum ini.

Kami menggesa, semua tindakan itu dilaksanakan tanpa kepentingan pihak tertentu serta sampai kepada semua rakyat yang terlibat tanpa diskriminasi atau mengira warna politik.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Penerangan
PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY  13/7/2016

Share on Myspace