Anak didik Pasti terima anugerah di London

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Anak didik Pasti Qaryah Pulau Serai Dungun, Mu'az Abdul Karim antara penerima anugerah 'Outstanding International BTEC Student of the Year 2016'  di Kota London baru-baru ini.

Mu'az adalah satu-satunya pelajar dari Malaysia yang pernah menerima anugerah ini, beliau telah dipilih daripada beratus pencalonan seluruh dunia oleh barisan juri khas untuk menggondol antara anugerah utama BTEC PEARSON 2016.

Beliau juga telah mendapat tawaran biasiswa khas oleh beberapa pihak penaja untuk meneruskan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda di salah satu daripada beberapa buah universiti di United Kingdom, dan akan memulakan pengajian paling awal September 2016 ini.

Mu'az telah diterbangkan khas ke kota London pada 7 Julai baru-baru ini bersama-sama kedua ibu bapanya dan seorang pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Petaling Jaya, untuk menerima anugera berprestij itu.

Kesemua mereka ditaja khas oleh Pearson untuk meraikan kejayaan cemerlang Mu'az di peringkat antarabangsa.

Pelajar cemerlang yang bercita-cita untuk menjadi Electronic Engineer ini adalah lulusan KKTM. Sebelum ke KKTM, Mu'az adalah pelajar sekolah cemerlang, Sekolah Menengah Imtiyaz Terengganu, dan beliau juga adalah hafiz Al-Quran.

Sementara itu di Facebook, wakil keluarga Mu'az turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru, kakitangan dari Pasti Qaryah Pulau Serai, Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Sekolah Menengah Imtiyaz Dungun dan pensyarah KKTM Petaling Jaya.

"Atas penat lelah dan pengorbanan mendidik dan membimbing Mu'az sehingga berjaya ke peringkat sekarang tidak dilupakan pihak penaja MARA serta sanak saudara," katanya.

Maklumat ini dikongsi di laman Facebook oleh salah seorang warga Malaysia yang dikenali sebagai Nasrul Syifak yang kini menetap di London United Kingdom. – HARAKAHDAILY 13/7/2016

Share on Myspace