PAS ubah pendekatan terhadap bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

PAS Ubah Pendekatan Terhadap Bukan Islam Melalui Tahaluf Siyasi (13 Julai 1986)

PADA hari ini dalam tahun 1986, Jawankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil langkah mendekati orang bukan Islam sebagai strategi dakwahnya untuk membuktikan bahawa Islam berupaya memimpin masyarakat majmuk. Langkah yang diambil oleh PAS ialah dengan menerokai tahaluf siyasi sebagai satu pendekatan politik baru yang berasaskan syariat, terutama untuk mendepani masyarakat majmuk. Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju dengan cadangan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam kertas kerjanya, 'Cadangan Mengadakan Satu Tahaluf Dengan Golongan Pembangkang Untuk Menghancur dan Menentang Kezaliman BN.'

Selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-31 pada 14-15 April 1985, PAS telah mengambil langkah mendekati orang Cina sehingga tertubuhnya Majlis Perunding Cina (CCC) pada 28 Januari 1986. Pada 1 November 1985, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka diadakan pada tahun 1986. Pada 30 Jun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah mengumumkan kesediaan PAS untuk mewujudkan persefahaman dan memimpin parti-parti pembangkang berdasarkan kaedah politik Islam melalui tahaluf siyasi. Hasilnya, pada 10 Julai 1986, telah diadakan pertemuan parti-parti pembangkang di Pejabat Agung PAS, Jalan Pahang.

Pernyataan sikap baru PAS ini adalah perubahan pendekatan politik setelah PAS berpengalaman bekerjasama dalam BN (1973-1977). PAS sendiri pada 22 Januari 1986, kerana kesediaan DAP, telah memutuskan bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan Islam, tetapi boleh bekerjasama dan menerima bantuan dengan orang bukan Islam. Pendirian ini adalah untuk mengelakkan PAS atau ahlinya memberi wala' kepada pertubuhan bukan Islam. Sebaliknya, PAS mempunyai kerjasama secara sulit dengan individu politik bukan Islam tertentu sebagai strategi dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, ekoran hubungan PAS-CCC dan juga kesediaan DAP, PAS perlu mempunyai pendirian politik yang lebih terbuka, sesuai dengan kaedah politik Islam dalam menghadapi politik etnik di negara ini.

Pada 13 Julai 1986, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam cadangannya, menyatakan pada zaman Rasulullah SAW, terdapat beberapa bentuk tahaluf dengan orang bukan Islam yang telah dibuat, iaitu antaranya tahaluf al-fudhul untuk menentang kezaliman, tahaluf Abu Talib untuk memelihara kebebasan dakwah, tahaluf Mut'im bin Adi untuk memelihara keselamatan pendakwah, Sahifah Madinah untuk mempertahankan negara Islam Madinah dan mengiktiraf kedaulatan Islam, dan Bai'ah ar-Ridhwan sebagai gencatan senjata dengan musyrikin Mekah untuk pertukaran tawanan perang. Sedangkan tahaluf Abu Lahab yang mengkompromi aqidah, tahaluf Bani Amir yang menyerahkan kuasa pemerintahan kepada orang kafir dan tahaluf Bani Syaiban yang menjerumuskan gerakan Islam dalam perangkap musuh adalah bentuk tahaluf yang ditolak oleh Rasulullah SAW dan diharamkan.

Atas asas-asas kukuh yang dikemukakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, PAS Pusat telah bersetuju dengan pendekatan tahaluf siyasi untuk membolehkan perjuangan Islam berkembang. Hasilnya, pada 14 Julai 1986, parti-parti pembangkang yang diketuai PAS yang mengisytiharkan penubuhan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan dianggotai oleh NasMa, PRM dan SDP. PAS juga mengarahkan Naib Yang Dipertua Agungnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyediakan kertas terperinci tentang hukum tahaluf siyasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990 kerana keperluan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Kertas yang diterima dan diluluskan pada 9 Oktober 1989 ini kemudian menjadi asas seluruh tahaluf siyasi PAS selepas 1990.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 13/7/2016

Share on Myspace