Program MyBeras sudah 3 bulan berlalu

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Porgram MyBeras diuar-uarkan dilaksanakan 1 Mac lepas, kini lebih tiga bulan berlalu begitu sahaja.

Seramai 200,000 keluarga miskin tegar yang dijangka akan mendapat manfaat bantuan tersebut seperti menunggu buah tidak luruh.

Biarpun program itu belum menjadi kenyataan, tiba-tiba Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula mencadang program MyBeras diberi dalam bentuk wang.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Md Ashaari Mamat berkata program yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Januari lepas tidak kenyataan sehingga sekarang.

Katanya, biar pun program itu belum muncul, tiba-tiba MyBeras mahu ditukar dalam bentuk wang pula.

“Sehingga sekarang sudah enam bulan berlalu begitu sahaja. Tak kan pula dengan segala kemudahan yang dimiliki kerajaan pusat program itu belum dapat dilaksanakan.

“Enam bulan masih dalam kajian. Ini memperlihatkan kerajaan BN tidak benar-benar serius bagi membantu rakyat miskin.

“Sedangkan banyak projek segera dilaksanakan ketika musim pilihan raya tanpa melalui kajian yang begitu lama,” katanya di sini.

Media hari ini melaporkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pihaknya mencadang bantuan untuk program MyBeras diberi dalam bentuk wang dan disalur melalui akuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Program MyBeras diumumkan Perdana Menteri ketika membentang Pengubahsuian Bajet 2016 bertujuan membantu golongan yang tegar miskin.

Bantuan itu hanya untuk keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih sebanyak 20 kilogram sebulan.

Md Ashaari juga berkata, program seumpama itu dilaksanakan di Kelantan sejak 2011, di mana lebih 4,500 penduduk miskin menerima bantuan beras percuma (al Itaam) sebanyak 10 kg setiap bulan. - HARAKAHDAILY 13/7/2016

Share on Myspace