Naik harga: PBT boleh batal lesen premis

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) PBT di Kelantan tidak teragak-agak membatalkan lesen premis perniagaan yang melanggar peraturan menaikkan harga jualan sehingga membebankan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata PBT boleh menggunakan undang-undang kecil bagi menghukum peniaga yang engkar.

“PBT tidak akan teragak-agak menarik lesen premis perniagaan mereka sekiranya menjual barangan terkawal melebihi harga ditetapkan khususnya di musim perayaan.

“Kita akan gunakan mana-mana ruang yang ada untuk mengambil tindakan terhadap peniaga di bawah undang-undang kecil PBT,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini harga ayam yang dijual meningkat sehingga RM100 tiga ekor. Sedangkan harga kawalan ditetapkan kerajaan RM7.90 sekg.

Abdul Fattah juga berkata PBT di Kelantan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memantau harga barangan kawalan khususnya ayam. - HARAKAHDAILY 13/7/2016

Share on Myspace