Selangor sedia bertindak penularan dakyah IS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa memantau dengan dekat sebarang penyebaran dakyah atau propaganda kumpulan militan Negara Islam (IS) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, selain pemantauan dijalankan Jais dan Mais, orang ramai juga diseru bekerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti gerakan itu.

Menurutnya, Jais dan Mais sentiasa memantau rapi kalau ada sebarang penularan IS di negeri itu dalam apa bentuk sekalipun termasuklah jika ada sebarang bentuk penerbitan dalam Bahasa Melayu.

“Hingga kini belum ada sebarang maklumat yang mendakwa ada penerbitan Bahasa Melayu mengenai IS. Kalau ada Jais dan Mais akan mengambil tindakan segera," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Beliau juga berharap masyarakat awam dapat bekerjasama dengan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya mengetahui ada aktiviti IS di Selangor.

Jelasnya, Jais dan Mais sentiasa memandang berat terhadap setiap laporan dikemukakan dengan membuat siasatan rapi bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Katanya lagi, selain melaporkan kepada Jais dan Mais, masyarakat awam juga boleh melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Share on Myspace